Rakyat benci ahli politik sebab pentingkan diri sendiri, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad berkata tumpuan ahli politik sekarang bukan untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi untuk berkhidmat kepada diri sendiri. – Gambar tangkap layar Facebook, 4 Ogos, 2021.

AHLI politik kini memegang reputasi buruk kerana mereka lebih berminat menjaga kepentingan sendiri berbanding berkhidmat untuk negara, kata Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Bekas perdana menteri itu berkata ahli politik cuma berminat mengenai boleh jadi perdana menteri atau tidak.

“Rakyat juga tertanya-tanya tentang gaji tinggi menteri. Kalau jadi menteri dapat duit banyak. Pasal la ni, selepas saya letak jawatan, gaji menteri naik sampai RM70,000 sebulan.

“Semua nak jadi menteri, bukannya nak berkhidmat untuk negara tetapi pasal nak dapat jawatan. Orang ni pun dulu-dulu tak dapat banyak, tetapi sekarang ini dapat duit banyak, seronoklah,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana individu atau parti.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan Agenda Awani terbitan Astro Awani tentang kenapa tidak ada gencatan politik ketika rakyat mencari jalan keluar kepada krisis negara.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata tumpuan ahli politik sekarang bukan untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi untuk berkhidmat kepada diri sendiri.

“Itulah sebabnya rakyat sekarang benci ahli politik. Rakyat muak dengan ahli polirik.”

Kata Dr Mahathir, Pejuang sudah memaklumkan lebih awal ini bukan tentang menjadi wakil rakyat tetapi untuk berkhidmat kepada negara.

“Kita nak kembalikan negara kepada pemerintahan yang bukan berasas kepada rasuah. 

“Sebab itu dalam Pejuang kebanyakkan pemimpinnya bukan orang politik, mereka ahli yang profesional yang ada tanggungjawab terhadap negara.

“Inilah Pejuang dan kita nak selamatkan negara daripada rasuah.”

Dr Mahathir berkata rakyat yang antirasuah perlu menolak rasuah dalam pilihan raya.

“Kalau mereka lihat parti terlibat dengan rasuah, tolak mereka. undi orang yang bersih. Itulah sebabnya saya mulakan Pejuang untuk bersihkan negara daripada rasuah.” – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen