Kelulusan penuh vaksin Pfizer di AS September ini, kata FDA


Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) telah menetapkan tarikh akhir tidak rasmi pada 6 September atau lebih awal untuk memberi lampu hijau kepada vaksin tersebut, lapor akhbar itu, memetik sumber yang tahu dengan rancangan tersebut. – Gambar AFP, 4 Ogos, 2021.

PENGAWAL selia ubat-ubatan Amerika Syarikat dijangka meluluskan secara penuh kegunaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada awal September ini, lapor New York Times pada Selasa.

Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) telah menetapkan tarikh akhir tidak rasmi pada 6 September atau lebih awal untuk memberi lampu hijau kepada vaksin tersebut, lapor akhbar itu, memetik sumber yang tahu dengan rancangan tersebut.

Sejak Disember lepas, vaksin Covid-19 ini hanya dibenarkan untuk tujuan kecemasan.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, FDA berkata kelulusan vaksin Pfizer adalah keutamaan agensi itu dengan tinjauan akhir dijangka siap tidak lama lagi.

Kelulusan penuh itu juga diharap meningkatkan keyakinan rakyat AS bagi melawan varian Delta.

Setakat 2 Ogos, Amerika Syarikat telah menyaksikan purata 84,389 kes harian bagi tujuh hari, menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit.

Kira-kira 192 juta warga Amerika telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dari salah satu daripada tiga vaksin Covid yang terdapat di Amerika Syarikat, 58 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Suntikan vaksin Pfizer paling banyak dibuat di AS, diikuti satu lagi vaksin jenis mRNA, Moderna, yang juga dibenarkan untuk tujuan kecemasan dari FDA, yang diharapkan akan menyusuli Pfizer mendapatkan kelulusan penuh.

Suntikan satu dos Johnson & Johnson adalah vaksin Covid-19 ketiga dan paling popular yang terdapat di Amerika Syarikat. Ia bagaimanapun belum mendapatkan kelulusan penuh oleh FDA, menurut Times. – AFP, 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen