KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan 257 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu setakat tengah hari ini, angka harian tertinggi direkodkan sejak pandemik mula dikesan di negara ini Januari tahun lepas.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban Covid-19 kini meningkat kepada 9,855 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.
Angka kematian tertinggi sebelum ini direkodkan pada 2 Ogos lalu, iaitu 219 kes.
Jumlah kes aktif kini mencecah 210,522, tambah Dr Noor Hisham.
Daripada 257 kematian yang dilaporkan hari ini, 91 kes di Selangor, Kuala Lumpur (74), Johor (25), Melaka (24), masing-masing sembilan kes di Negeri Sembilan dan Perak, Kedah (8), Sabah (6), Terengganu (4), masing-masing tiga kes di Pulau Pinang dan Kelantan serta Pahang (1), katanya.
Jelasnya lagi, 226 kematian membabitkan rakyat tempatan, manakala 31 lagi adalah warga asing. Pecahan mengikut jantina pula, seramai 137 mangsa adalah lelaki, baki 120 lagi adalah perempuan.
Dr Noor Hisham juga berkata 206 mangsa yang terkorban akibat Covid-19 mempunyai sejarah penyakit, manakala 21 meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.
Malaysia hari ini mencatat 19,819 kes baharu Covid-19, mengatasi 12,704 kes sembuh.
Dr Noor Hisham berkata, 1.9% daripada kes baharu hari ini adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5, manakala 98.1% lagi adalah kategori 1 dan 2.
Menurutnya, pesakit kategori 1 (tidak bergejala) seramai 10,001 orang, 9,443 pesakit kategori 2 (bergejala ringan), 180 dalam kategori 3 (radang paru-paru), 108 kategori 4 (radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen) dan kategori 5 (kritikal dan perlu bantuan pernafasan) seramai 87 orang.
Selain itu, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi kini seramai 1,069 orang, dengan 553 kes memerlukan bantuan pernafasan, kata Dr Noor Hisham. – 4 Ogos, 2021.
Komen