Khaled Nordin letak jawatan pengerusi Boustead


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin antara pemimpin Umno yang dilantik kerajaan Perikatan Nasional untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan selepas Umno bersama membentuk kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2021.

NAIB Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan letak jawatan sebagai pengerusi Boustead Holdings Berhad selepas beberapa ahli Parlimen parti itu menarik sokongan kepada kerajaan Muhyiddin Yassin dan kerajaan 

Bekas menteri besar Johor berkata peletakan jawatan itu berkuat kuasa esok, lanjutan keputusan politik Umno.

“Umno secara jelas telah membuat ketetapan untuk menarik sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan PN.

“Saya dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya selaku pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Berhad berkuatkuasa Khamis, 5 Ogos 2021.

“Ini sebagai mengambil tanggungjawab saya selaku ahli parti yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti,” kata Khaled, dalam kenyataannya, hari ini.

Khaled antara pemimpin Umno yang dilantik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selepas parti itu bersama membentuk kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sejak Mac 2020.

Khaled yang dilantik ke jawatan itu pada Mei tahun lalu turut merakamkan penghargaan kepada ahli lembaga pengarah syarikat sepanjang perkhidmatannya.

“Saya yakin dan percaya syarikat kini berada di landasan yang tepat untuk terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu tabung persaraan tentera, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya.

Pada Januari lalu, ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menjadi wakil rakyat Umno yang pertama menolak untuk menyokong PN.

Beliau turut melepaskan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOB).

Semalam, Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri tenaga dan sumber asli.

Pengumuman itu dilakukan Shamsul Anuar sebelum Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pihaknya mempunyai surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk berkata sejumlah ahli Parlimen Umno sudah menyerahkan akuan bersumpah tidak lagi menyokong PN kepada Yang di-Pertuan Agong.

Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini memaklumkan akan membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat dalam persidangan pada September depan.

Ia berikutan penarikan sokongan segelintir wakil rakyat Umno itu menimbulkan tanda tanya sama ada ahli Parlimen Pagoh itu masih mempunyai majoriti sokongan bagi kekal sebagai ketua kerajaan. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen