PERDANA Menteri Naftali Bennett pada Rabu berkata vaksinasi dan sekatan yang diperbaharui dapat mengelakkan Israel dari ditutup, walaupun jangkitan Covid-19 melonjak.
“Tujuan kami untuk kekalkan Israel dibuka tetapi bukanlah sehingga hospital kritikal,” katanya dalam lawatan ke pusat vaksinasi baharu di Baitulmaqdis.
“Kami berusaha untuk elak, dan tahu bila perlu tekan brek,” kata Bennett.
“Untuk bertahan dari sekatan yang lebih keras, vaksinasi diperluas selain rakyat perlu pakai pelitup muka dan jaga jarak.”
Pada Selasa, kerajaan Bennett mengumumkan pakej larangan baharu, termasuk mewajibkan sijil vaksin atau ujian negatif untuk masuk ke tempat awam yang kurang daripada 100 orang, dan pemakaian pelitup muka wajib di tempat terbuka yang tidak lebih 100 orang.
Mengumumkan sekatan baharu, jawatankuasa kabinet Covid-19 memperingatkan varian Delta menular pantas dan meminta rakyat Israel “berhenti berjabat tangan, berpelukan atau bercium.”
Kementerian kesihatan juga telah menambah senarai negara-negara yang perlu dikuarantin, tanpa mengira status vaksinasi atau ujian mereka, memasukkan Perancis, Itali dan Amerika Syarikat, antara negara-negara lain.
Selama satu setengah minggu terakhir, Israel mencatat lebih 2,000 jangkitan harian, dengan 229 orang berada dalam keadaan serius - tertinggi sejak April.
Peningkatan jangkitan adalah satu langkah kebelakang setelah kempen vaksin terkenal di Israel itu menurunkan kes baharu Covid-19 dari 10,000 sehari kepada kurang 100.
Israel telah menarik sebahagian besar sekatan Covid-19 pada awal Jun, tetapi mulai menerapkan kembali beberapa larangan tersebut bulan lalu setelah kes melonjak kembali.
Hampir 60 peratus dari 9.3 juta rakyat Israel telah mendapatkan dua dok vaksin, kebanyakan jenis Pfizer-BioNTech.
Bagaimanapun kira-kira sejuta rakyat Israel menolak vaksinasi walaupun mereka layak.
Israel minggu lalu melancarkan suntikan penggalak untuk warga emas 60 tahun ke atas. Ia juga menyuntik vaksin kepada kanak-kanak seawal usia 12 tahun ke atas. – AFP, 4 Ogos, 2021.
Komen