Mustahil Muhyiddin ada sokongan majoriti, kata pembangkang


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melambai kepada media selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Ogos, 2021.

MUSTAHIL Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih mempunyai majoriti selepas beberapa ahli Parlimen dalam kerajaan semalam umum menarik balik sokongan terhadapnya, kata pembangkang.

Muhyiddin dan seluruh kabinetnya juga perlu meletak jawatan segera, tegas Pakatan Harapan (PH) bersama empat ahli Parlimen pembangkang dalam satu kenyataan bersama hari ini.

“Adalah mustahil Tan Sri Mahiaddin masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat selepas pengumuman penarikan balik sokongan sejumlah ahli Parlimen kerajaan semalam. 

“Kami juga kekal dengan pendirian bahawa Tan Sri Mahiaddin dan seluruh Jemaah Menteri mesti meletakkan jawatan,” kata mereka.

Kenyataan ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi pihak PH; dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau, dua Ahli Parlimen dari Parti Sarawak Bersatu iaitu Baru Bian dan Masir Kujat; serta Maszlee Malik (Bebas).

Terdahulu, dalam perutusan khasnya yang disiarkan langsung tengah hari tadi, Muhyiddin berkata beliau masih ada sokongan yang cukup, untuk menerajui kerajaan. 

Keabsahan beliau sebagai perdana menteri akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini, tambahnya.

Muhyiddin hari ini dititah mengadap Al-Sultan Abdullah pada 11 pagi tadi.

Pada majlis mengadap itu, Muhyiddin menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat berdasarkan sejumlah surat akuan yang mereka beri kepadanya.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya.

Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri jadi persoalan selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengumumkan pihaknya sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan mereka.

Susulan pengumuman Zahid itu, Muhyiddin dipercayai hanya mempunyai sokongan 104 daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Presiden Bersatu itu dilantik jadi perdana menteri pada Mac tahun lalu, selepas kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. – 4 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen