PEJUANG menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal dan tidak terlibat dalam sebarang kerjasama atau rundingan untuk menyokong kerajaan, kata Ulya Aqamah Husamuddin.
Ketua Penerangan Pejuang itu berkata empat ahli Parlimen Pejuang juga tidak pernah menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Sebarang tularan (bekerjasama dengan PN) yang mengatakan sebaliknya adalah palsu dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir juga dengan nada sama menafikan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Beliau berkata kenyataan yang dikongsi secara meluas di media sosial mengenai sokongan itu adalah palsu.
Mukhriz berkata parti itu juga tidak mahu mengulas perkembangan politik terkini kerana memberi tumpuan kepada krisis kesihatan dan ekonomi akibat penularan Covid-19.
Ulya hari ini menegaskan Pejuang secara konsisten menyatakan tidak setuju dengan kerajaan sedia ada dan berulang kali meminta perdana menteri dan juga kabinetnya meletakkan jawatan.
“Fokus kami masih kekal kepada langkah-langkah untuk mengatasi permasalahan rakyat dalam menghadapi masalah kesihatan dan ekonomi.”
Sebelum ini, Muhyiddin berkata satu usul percaya akan dibawa terhadapnya untuk ditentukan oleh anggota Dewan Rakyat pada September ini bagi menghapuskan semua keraguan mengenai sokongan terhadapnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong semalam memaklumkan lapan ahli Parlimen Umno sudah menarik sokongan mereka kepadanya.
“Saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai perdana menteri di Parlimen.
“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada September.
“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai perdana menteri dan PN sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” kata Presiden Bersatu itu. – 4 Ogos, 2021.
Komen