PARTI Warisan Sabah (Warisan) tetap tidak akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), tegas presidennya Mohd Shafie Apdal.
Sebarang berita atau laporan yang mendakwa Warisan menyokong PN adalah palsu dan berniat jahat, katanya dalam satu kenyataan.
“Semua ahli Parlimen Warisan utuh dan kuat untuk meminta supaya Muhyiddin dan seluruh kabinetnya berundur dengan penuh hormat.”
Parti itu turut mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil sidang Parlimen secepat mungkin untuk membuktikan sokongan terhadapnya.
“Itu akan menjernihkan keadaan malah tidak perlu menunggu hingga September nanti.
“Perkara ini harus dibuktikan secepat mungkin kerana ia tidak boleh mengganggu isu lain seperti mengenai Rancangan Malaysia ke-12 dan belanjawan yang akan dibincangkan dalam sesi parlimen yang dijadualkan pada bulan September,” jelas Shafie.
Dalam perutusan khas yang disiarkan langsung tengah hari tadi, Muhyiddin berkata beliau masih ada sokongan yang cukup untuk terus menerajui kerajaan.
Perutusan tersebut selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam umum pihaknya sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat akuan “yang mencukupi angka” untuk menarik sokongan mereka terhadap perdana menteri.
Muhyiddin juga berkata satu usul percaya akan dibawa terhadapnya untuk ditentukan menerusi sidang Dewan Rakyat pada September ini. – 4 Ogos, 2021.
Komen