RUEVEN Chia yang baru berusia 10 tahun memilih untuk memasak selama tujuh hari bagi menyediakan 140 kotak makanan tengah hari yang diagihkan kepada golongan susah di Johor Jaya, Johor ketika berdepan pandemik Covid-19.
Menamakannya Projek Loving Lunchbox Chia sendiri menyediakan 20 kotak sehari untuk diberikan kepada beberapa keluarga yang memerlukan dengan bantuan ahli majlis tempatan. Projeknya berlangsung dari 22 Julai hingga 29 Julai.
Kanak-kanak ini memilih sendiri resepi iaitu termasuk sup sayur, telur dan ayam yang diambil daripada YouTube.
Sementara beliau memasak, ibu bapanya yang kedua-duanya guru membelikan bahan masakan menggunakan wang yang diberikan oleh Rueven.
Ibunya, Tan Mui Kim, 39, berkata anaknya itu memberitahu ideanya untuk memasak dan memberikan kepada mereka yang memerlukan selepas mendapat tahu ramai yang bertindak membunuh diri kerana tidak mampu lagi menanggung beban akibat pandemik.
“Saya dan suami sedang berakap tentang ramainya orang yang berdepan kesukaran sepanjang pandemik dan Rueven terdengar,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.
“Rueven kemudian bertanya kenapa tidak ada yang membantu golongan susah ini. Saya beritahu ada orang bantu, tetapi mungkin tidak mencukupi.
“Dia diam saja dan kemudian dia tiba-tiba mahu kami gunakan wang poketnya untuk menyediakan makanan tengah hari kepada mereka yang memerlukan bantuan makanan.
“Bila dia kata dia hendak beri makanan tengah hari kepada golongan susah, saya kemudian minta bantuan ahli majlis tempatan berkenaan rancangannya itu dan mereka bantu kami cari kawasan sesuai untuk edarkan makanan.”
Tan sangat terkejut bila anaknya itu memberikan idea itu kerana Rueven seorang yang sangat berjimat-cermat dan menyimpan hampir semua wang sakunya.
“Dia sangat berhati-hati dengan wangnya. Dia akan banding harga di kantin sekolah sebelum buat keputusan sama ada beli di kantin lebih ekonomi berbanding bawa bekal dari rumah.”
Tan berkata Rueven membelanjakan kira-kira RM500 untuk projek tujuh hari itu.
Tan dan suaminya bergilir-gilir membantu Rueven di dapur sepanjang tujuh hari itu. Mereka membantu memotong dan mencuci bahan masakan. – 8 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen