ISU pembahagian kerusi yang dihadapi pembangkang di Sabah masih belum dimuktamadkan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Christina Liew.
“Saya menghormati pandangan parti komponen PH di Sabah. PKR masih terbuka untuk berunding dengan parti pembangkang lain.
“Kita tidak boleh mengatakan tiada lagi ruang untuk rundingan kerana matlamatnya jelas - untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan membentuk kerajaan akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Komen beliau itu susulan laporan perbalahan antara Warisan dengan DAP negeri mengenai peruntukan kerusi.
Liew, yang juga pengerusi PKR negeri dan Adun Api-Api berkata, mencapai kerjasama antara semua parti pembangkang negeri adalah keutamaan, bagi mengelakkan pertelagahan pertembungan banyak penjuru pada PRU14, yang perlu diadakan sebelum Ogos.
Pada Isnin, DAP negeri menyifatkan cadangan Warisan agar parti memfokuskan kawasan bandar berbanding luar bandar sebagai “tidak adil”.
Pengerusi DAP negeri Stephen Wong berkata, ia berharap dapat bertanding pada 12 daripada 60 kerusi negeri dan lima daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, termasuk kerusi Bingkor, Sook dan Melalap.
Semalam, beliau berkata parti itu akan bertanding di Likas, kerusi yang dimenangi Naib Presiden Warisan Junz Wong pada PRU13 menggunakan tiket DAP.
Perbalahan antara Warisan dan DAP negeri mengenai isu itu timbul ketika perbincangan tidak rasmi mengenai pembentukan pakatan pilihan raya antara PH dan parti pembangkang tempatan.
Liew berkata perkara itu akan diselesaikan sebelum PRU14.
“Rakyat Sabah berharap gabungan parti pembangkang akan mengambil alih kerajaan. Kita tidak boleh membiarkan mereka kecewa. Kepentingan rakyat adalah keutamaan kita.” – 18 Januari, 2018.
Komen