PEJUANG tidak mahu mengulas perkembangan terkini politik selepas beberapa ahli parlimen Umno menarik sokongan mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata presidennya Mukhriz Mahathir.
Pejuang berpegang pada titah Yang di-Pertuan Agong agar pemimpin politik memberi tumpuan kepada krisis kesihatan dan ekonomi akibat penularan Covid-19, katanya.
“Sememangnya itu yang dihasratkan oleh Pejuang ketika mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara dengan menggembleng tenaga pakar bagi memberi tumpuan menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Berpaksikan semangat mendahulukan kepentingan rakyat, Pejuang mengambil pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkembangan mutakhir yang dicetuskan oleh pelbagai pemimpin parti politik,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Pegawai parti sebelum itu menafikan satu kenyataan media yang tular, yang kononnya dikeluarkan oleh Pejuang, mendakwa parti itu kini mendukung kepimpinan Muhyiddin selepas pemimpin Umno yang kleptokrat tiada dalam kerajaan.
Mereka juga menafikan mesej yang tular di media sosial kononnya menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali sedang berunding untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai Pejuang untuk membolehkan Pakatan Harapan jadi kerajaan semula.
Petang tadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pihaknya sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat penarikan balik sokongan ahli Parlimen parti itu kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Pengumuman dibuat selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno secara dalam talian petang tadi.
Beliau mengetuai sekurang-kurangnya 11 ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka kepada Muhyiddin.
Zahid membuat pengumuman itu tidak lama selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah mengeluarkan kenyataan bertulis letak jawatan menteri kabinet Muhyiddin.
Pejuang mempunyai empat kerusi di Dewan Rakyat.
Semalam, mereka menyertai ahli-ahli parlimen pembangkang yang lain berhimpun di Dataran Merdeka selepas disekat oleh polis daripada cuba memasuki jalan menuju ke Parlimen. – 3 Ogos, 2021.
Komen