Kes aktif Covid-19 lebih 200,000, kes baharu atasi kes sembuh, kata KP kesihatan


Ravin Palanisamy

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes aktif di Malaysia kini melebihi 200,000 selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 17,105 kes baharu berbanding 12,297 kes yang sudah sembuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

KES aktif Covid-19 di negara ini naik lebih 200,000 hari ini selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 17,105 kes baharu berbanding 12,297 kes yang sudah sembuh, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata seramai 203,664 pesakit Covid-19 sedang dirawat di negara ini

Ini akan menjadikan hari ini hari ke-39 kes baharu melebihi jumlah jangkitan yang sudah pulih.

Mengenai kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, hanya 1.9% kes berada dalam Kategori 3, 4 dan 5, manakala selebihnya dalam Kategori 1 dan 2.

Katanya 8,268 kes adalah Kategori 1 (tiada gejala), 8,520 kes dalam Kategori 2 (gejala ringan), 135 kes dalam kategori 3 (radang paru-paru), 85 kes dalam Kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan oksigen) dan 97 kes dalam Kategori 5 (kritikal dan perlukan bantuan pernafasan melalui pengudaraan).

Sementara itu, daipada jumlah kes aktif, 1,066 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), sementara 537 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Noor Hisham berkata hari ini Malaysia terus mencatat kematian tiga angka dengan 195 kematian hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan maut seramai 9,598.

Tambahnya, Selangor menyumbang 88 kes kematian hari ini, 24 kes didaftarkan di Johor, 15 kes di Pulau Pinang, 13 kes di Kedah dan 12 di Sabah.

Negeri lain yang melaporkan kematian hari ini ialah Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang (masing-masing lapan), Terengganu (tujuh), Perak (empat), Kelantan (tiga), Sarawak (dua), Kuala Lumpur, Labuan dan Perlis (masing-masing satu).

Seramai 150 daripada 195 mangsa sudah mengalami masalah kesihatan  dan 34 daripadanya diisytiharkan maut sebelum sapai di hospital. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen