Umno buat dulu, nak sokong parti tak sokong presiden, kata Zahidi


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Zahidi Zainul Abidin berkata idea supaya parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional tetapi menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak praktikal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

UMNO boleh mencuba terlebih dahulu prinsip menyokong parti tetapi menolak presiden, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Zahidi Zainul Abidin, ketika ada idea dalam kalangan pemimpin Umno supaya parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi menolak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Zahidi berkata idea itu tidak praktikal tetapi boleh dibuat sekiranya Umno mengamalkannya terlebih dahulu dalam parti.

“Kalau kita bersama Bersatu tapi tak sokong presiden Bersatu ini tidak praktikal… sokong PAS, tak sokong Hadi (Presiden Abdul Hadi Awang) juga tak praktikal. 

“Kalau Umno nak amal dalam Umno, sokong Umno tapi tak sokong presiden, kita boleh cuba,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Bekas presiden Umno Najib Razak baru-baru ini berkata Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri tetapi menyokong kerajaan PN.

Persoalan “sokong parti, tidak sokong presiden” ini timbul selepas Umno mendesak Muhyiddin letak jawatan perdana menteri atas alasan kerajaannya gagal menangani Covid-19 serta pelbagai krisis yang berbangkit daripada penularan pandemik.

Zahidi membuat sidang media ini menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno petang ini yang dipanggil untuk “memperhalusi pendirian dan tindakan parti” dalam keadaan politik semasa.

Dalam mesyuarat terakhirnya pada 7 Julai, MKT Umno membuat keputusan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan mendesak beliau letak jawatan secara terhormat.

Menurut Zahidi, Umno tidak akan mengkhianati kerajaan PN yang ia tubuhkan bersama, selepas percaturan politik mengetepikan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Ahli Parlimen Padang Besar meminta seluruh ahli Umno dan ahli Parlimen parti menyokong Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga naib presiden parti, dan kerajaan Muhyiddin.

“Umno tidak akan khianati kerajaan bersama yang kita bina.

“Kita tak mahu Umno, dalam keadaan badai dan ribut, tebuk lubang kapal yang sedia ada. Kita tidak mahu Umno ada sejarah mengkhianati kerajaan yang kita tubuh,” katanya.

Zahidi turut mengesahkan kenyataan Ismail Sabri sebelum ini bahawa 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan PN dan usaha-usaha sedang dibuat untuk menarik baki sokongan yang lain.

“Kalau boleh presiden Umno sokonglah,” katanya, merujuk Ahmad Zahid Hamidi yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk.

Seorang lagi ahli Parlimen BN Tengku Razaleigh Hamzah sudah mengisytihar tidak menyokong kerajaan PN. Minggu lalu, beliau memohon dipindahkan tempat duduk di Dewan Rakyat ke blok wakil rakyat bebas. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen