MALAYSA terus mencatat kes harian Covid-19 dalam lima angka apabila sebanyak 17,105 jangkitan baharu dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini merupakan hari ke-22 berturut-turut negara melaporkan kes harian dalam lima angka.
Ketua pengarah kesihatan berkata, lebih 8,000 kes dilaporkan di Lembah Klang dengan Selangor menyumbang 5,836 kes, Kuala Lumpur 2,309 kes dan Putrajaya dengan 72 kes.
Selangor dan Kuala Lumpur kekal menduduki tempat teratas mencatatkan jumlah kes Covid-19 tertinggi diikuti oleh Johor di tempat ketiga dengan 1,275 kes.
Selangor juga melaporkan jumlah kes tertinggi selama 103 hari berturut-turut di mana jumlah kes keseluruhan kini sebanyak 425,648.
Sementara itu, vaksin Covid-19 yang diberikan semalam berada di bawah sasaran harian sebanyak 500,000 suntikan dengan 468,526 suntikan diberikan di seluruh negara.
Daripada jumlah ini, 223,479 adalah dos pertama dan 245,047 adalah dos kedua, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 menerusi Twitter.
Jumlah suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara kini sebanyak 21.67 juta. – 3 Ogos, 2021.
Komen