Sekolah AS beri insentif AS$1,000 kakitangan lengkap vaksin


Insentif tunai yang diberi kepada kakitangan sudah divaksin diharap membantu usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai penduduk mengambil vaksin Covid-19. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2021.

SEBUAH sekolah di negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS) akan membayar bonus AS$1,000 (RM4,200) kepada kakitangan mengambil vaksin Covid-19 dalam usaha melindungi diri daripada wabak yang muncul kembali, kata pihak berkuasa.

Pejabat daerah berkata diharapkan insentif dapat menghindari “banyak gangguan yang dihadapi pendidikan awam selama dua tahun terakhir akibat pandemik global.”

“Tahun lalu begitu mencabar bagi pelajar dan kakitangan kami kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan kehadiran dan kemungkinan Covid-19 di kampus kami,” kata Superintendan Mary Elizabeth Davis dalam satu kenyataan.

“Pelajar dan keluarga kita berhak dan mengharapkan kebolehramalan dan kestabilan dalam pembelajaran mereka, serta memastikan ia dibuka dan menyokong kesihatan pekerja kita adalah paling terpenting dalam usaha ini,” tambahnya.

Sekolah daerah Henry, tenggara bandar Atlanta, akan membayar AS$1,000 kepada mereka mendapat vaksin penuh atau yang akan diberi vaksin pada 30 September dengan satu dos vaksin Johnson & Johnson atau dua dos daripada Pfizer atau Moderna.

Wang itu adalah daripada program persekutuan untuk mengekang virus koronavirus di sekolah rendah dan menengah, kata pegawai pendidikan.

“Kami tahu vaksin masih merupakan langkah pertahanan dan pencegahan nombor satu untuk membantu mengurangkan dan menghentikan penyebaran virus yang melumpuhkan masyarakat ini,” kata Davis.

AS mengalami peningkatan mendadak kes koronavirus terutamanya disebabkan oleh varian Delta yang lebih pantas berjangkit.

Kes baharu Covid-19 meningkat empat kali ganda dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kata Pengarah Institut Kesihatan Nasional Francis Collins pada Ahad.

Tidak sampai 60% penduduk AS yang berumur 12 tahun ke atas mendapat vaksin lengkap, menurut angka rasmi.

Di daerah Henry, jangkitan meningkat 40% dalam tempoh tujuh hari lalu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS. – Bernama, 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen