PKP bersambung-sambung jejas hasil nelayan 


Diyana Ibrahim

Nelayan mengeluh tidak boleh menjual hasil tangkapan kepada pemborong sehingga menyebabkan pendapatan merosot teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

NELAYAN di Terengganu tetap terjejas akibat sekatan pergerakan yang bersambung-sambung untuk mencegah pandemik Covid-19 biarpun mereka boleh ke laut untuk menangkap ikan.

Sekatan pergerakan menyebabkan mereka tidak boleh menjual hasil tangkapan kepada pemborong sehingga menyebabkan pendapatan merosot teruk.

Seorang nelayan di Marang, Mohd Nor Ismail, 49, berkata keadaan itu menyebabkan harga ikan turun kerana mereka hanya dapat menjual hasil tangkapan kepada penduduk dan di pasar setempat.

“Kita tak ada masalah dengan hasil tangkapan, ikan di laut masih banyak… tapi masalahnya kita nak jual dekat siapa?

“Tak ada pemborong yang nak beli,” katanya ketika ditemui di Jeti Seberang Marang.

Jeti Seberang Marang merupakan antara pangkalan nelayan yang terbesar di Terengganu dan menjadi tumpuan pemborong atau peraih untuk membeli hasil laut.

Mohd Nor yang sudah menjadi nelayan sejak lapan tahun lepas berkata kebanyakan pemborong akan membeli hasil ikan untuk dijual di Kuala Lumpur, Johor malah turut dieksport sampai ke Singapura.

Bagi Shoty Zakaria, 56, jika dulu dia boleh meraih pendapatan sekurang- kurangnya RM2,000 sebulan namun kini tidak kurang daripada RM1,000.

Dia yang menjadi nelayan sejak 20 tahun lepas berkata keadaan itu memaksa dirinya untuk membuat kerja lain juga yang sebelum ini dibuat hanya semasa musim tengkujuh.

“Harga ikan pun memang turun sekarang kalau dulu harga ikan tongkol boleh dapat dalam RM16, RM17 sekarang ini jatuh sampai RM14 sekilo.

“Harga sotong candat pun turun dulu harga boleh cecah RM32 sekarang hanya RM27 sahaja.

“Jadi saya terpaksa buat kerja lain ambil upah bertukang rumah untuk tambah pendapatan. Biasanya dulu saya buat ini hanya apabila masuk musim tengkujuh sebab kita nelayan tak dapat turun ke laut.

“Tapi sekarang ini belum musim tengkujuh pun saya tetap akan buat kerja lain ambil upah bertukang untuk tambah pendapatan,” katanya.

Tambah Shoty, prosedur operasi standard (SOP) bagi nelayan yang hanya menghadkan dua orang bagi satu bot juga sebenarnya menyusahkan mereka.

“Dulu biasa tiga orang, sekarang ikut SOP tiga orang kena dalam satu bot, jadi nak tangkap ikan banyak macam dulu memang tak dapat sebab kudrat cuma ada dua orang saja,” katanya.

Bagi pemborong Mohamad Hafiz Ghaza, 33, pelaksanaan PKP memberi kesan yang besar kepada pengusaha ikan laut dalam kerana mereka tidak dapat lagi mengambil ikan dari nelayan luar.

“Boleh kata pengusaha laut dalam ini gulung tikarlah. Kebergantungan kita dulu banyak dari nelayan luar terutama dari nelayan Siam (Thailand).

“Ibarat pemain import masuk bila tak ada memang susah untuk kita. Disebabkan PKP kita tak dapat ambil hasil laut daripada mereka,” katanya.

Luahnya lagi jika jika mereka boleh mengeksport hasil ikan ke luar namun bukan dalam jumlah yang banyak berbanding dulu.

Katanya lagi pemborong sepertinya terpaksa berdepan dengan situasi terdapat pasar yang ditutup seperti mana berlaku di Pasar Selayang dan di Pasar Jurong, Singapura.

“Bila pasar ditutup memang kita tak ada tempat untuk jual ikan. Sebab itu harga ikan di sini sekarang murah kerana nelayan tidak ada tempat untuk menjual hasil laut dan terpaksa jual untuk pasaran tempatan jadi persaingan itu sangat sesama mereka.

“Macam kita pemborong pun kita dah ada tempat untuk jual. Dulu kita jual hasil ikan kita pada hotel-hotel tapi sekarang banyak hotel dah tutup.

“Pasar kalau tutup sebab Covid-19 akan jadi lambakan ikan dan kita terpaksa lelong ikan itu dengan harga murah,” katanya

Katanya lagi sekurang- kurangnya terdapat 10 pengusaha laut dalam yang ada di Marang ketika ini.

Pemuda itu berkata sebagai alternatif dia kini terpaksa menjual hasil laut di kilang- kilang biarpun berdepan risiko yang tinggi. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen