DR MAHATHIR Mohamad mahu kerajaan meningkatkan program vaksinasi Covid-19 bagi mencapai kadar vaksinasi 800,000 dos sehari.
Beliau berkata perkara ini penting kerana kes harian kini meningkat disebabkan ramai rakyat telah dijangkiti.
“Saya ucap tahniah kerana usaha kerajaan tingkatkan jumlah suntikan vaksin. 500,000 sehari boleh kurangkan kes baharu.
“Tetapi saya berpendapat jumlah perlu dinaikkan lagi kepada 800,000 sehari kerana peningkatan kes baharu disebabkan terlalu ramai dari yang sudah dijangkiti berada disekeliling kita yang tidak dapat dikuarantin dengan berkesan.
“Mereka terpaksa ada di rumah di mana ada yang belum dijangkiti. Mereka juga tidak patuh kepada SOP sepenuhnya,” kata Dr Mahathir dalam satu catatan diblognya.
Negara telah memvaksinasi 480,122 orang semalam selepas kekal berada sekitar setengah juta sejak enam hari.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata 298,236 merupakan penerima dos pertama manakala 181,886 lagi dos kedua.
Sebanyak 521,923 dos diberikan pada 26 Julai; 553,871 pada 27 Julai; 552,701 pada 28 Julai; 556,404 pada 29 Julai; 512,097 pada 30 Julai; dan 519,111 pada 31 Julai.
Secara keseluruhannya, 21.2 juta dos telah diberikan di bawah program imunisasi kebangsaan sejak 24 Februari. Sebanyak 14,247,659 menerima suntikan vaksin dos pertama dan 6,952,814 adalah dos kedua.
Hari ini juga negara melaporkan 15,764 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kes kepada 1,146,186. – 2 Ogos, 2021.
Komen