DOKTOR di hospital dikendalikan pemerintah Nigeria pada Isnin memulakan mogok gaji, faedah insurans dan kemudahan yang teruk, kata para pemimpin kesatuan ketika negara itu berhadapan gelombang koronavirus ketiga.
Mogok oleh Persatuan Doktor Residen Nasional (NARD) adalah yang terbaharu dalam siri pemberhentian kerja kakitangan perubatan, mewakili lebih 40% doktor di negara paling ramai penduduk di Afrika itu.
“Mogok di seluruh negara bermula pada pukul 8.00 pagi ini. Ini mogok yang tidak ada batas,” kata presiden NARD, Uyilawa Okhuaihesuyi kepada AFP.
“Tidak akan ada pengecualian untuk doktor yang menangani kes Covid-19.”
Beliau berkata tindakan itu adalah bagi mendorong pemerintah untuk menunaikan janji mengenai tunggakan gaji, elaun bahaya dan faedah insurans kepada keluarga doktor yang telah meninggal dunia akibat virus tersebut.
“Kami minta kerajaan bayar faedah insurans kepada 19 anggota kami yang telah mati ketika bertugas,” katanya.
Okhuaihesuyi berkata doktor Nigeria kini kekurangan peralatan dan dana sementara kemudahan hospital kerajaan sangat menyedihkan.
Tambahnya, ada beberapa negeri berhutang dengan doktor kerana belum bayar gaji dan faedah lain, menambah mogok itu tidak akan dihentikan selagi tuntutan kesatuan itu tidak dipenuhi.
“Kami tuntut warga Nigeria tanggung kami. Doktor dan keluarga mereka menderita. Kami sudah tidak dapat bayar bil kami kerana pemerintah tidak peka dan mengabaikan kesejahteraan kami.”
Terdapat kira-kira 42,000 doktor di Nigeria, di mana 16,000 adalah doktor residen - lulusan sekolah perubatan yang dilatih sebagai pakar.
Doktor-doktor di negara itu telah lama mengadu kurangnya katil dan ubat di hospital selain peralatan perlindungan tidak mencukupi.
Tuntutan lain termasuk perlindungan insurans hayat, kenaikan gaji dan pembayaran gaji yang belum diselesaikan.
Nigeria dengan populasi 210 juta mencatat 174,315 kes Covid-19 dengan 2,149 kematian sejak kes pertama virus pada Februari 2020. Namun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi, sebahagiannya kerana kadar ujian saringan yang rendah.
Bulan lalu, Pusat Pengawalan Penyakit Nigeria berkata pihaknya telah mengesan varian Delta, membuat para pegawai bersedia menghadapi gelombang jangkitan ketiga di negara ini. – AFP, 2 Ogos, 2021.
Komen