MALAYSIA mencatatkan 15,764 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,146,186, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini adalah hari ke-21 berturut-turut negara mencatatkan kes harian dalam lima angka termasuk 17,786 jangkitan yang memecahkan rekod pada 31 Julai.
Noor Hisham berkata, Selangor terus mencatat kes tertinggi dengan 6,067 jangkitan diikuti Kuala Lumpur dengan 1,536 kes dan Johor dengan 1,222 kes.
Selangor kini menduduki tangga teratas dalam jumlah kes harian Covid-19 selama 102 hari berturut-turut.
Mengenai kes kumulatif negeri, Selangor turut mendahului dengan 419,812 kes diikuti Kuala Lumpur 126,649 kes dan Johor dengan 92,950 kes.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu adalah Sabah dengan 1,166 kes, Kedah (1,108), Negeri Sembilan (862), Perak (748), Penang (667), Kelantan (552), Pahang (475), Melaka (463), Terengganu (425) dan Sarawak (411).
Tiga negeri yang melaporkan kes dua digit atau kurang adalah Putrajaya dengan 46 kes, Perlis dengan sembilan kes dan Labuan dengan tujuh kes.
Sementara itu, vaksinasi harian Covid-19 menurun kepada 480,122 semalam selepas kekal di atas setengah juta selama enam hari berturut-turut.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKAV) berkata seramai 298,236 orang menerima suntikan pertama mereka semalam dan 181,886 menerima suntikan dos kedua. – 2 Ogos, 2021.
Komen