MUHYIDDIN Yassin mesti letak jawatan perdana menteri selepas derhaka titah Yang di-Pertuan Agong mengenai cara pemansuhan ordinan darurat, kata Umno Kelantan.
Kenyataan sama sebelum ini dikeluarkan oleh beberapa bahagian Umno dan pimpinan Umno negeri antaranya Perak, Kedah, Pahang, dan Terengganu, sejak Jumaat.
Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata pihaknya teguh mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan asas dan perjuangan parti yang termaktub dalam perlembagaan Umno.
“Selaku ketua kerajaan Perikatan Nasional, beliau (Muhyiddin) bertanggungjawab sepenuhnya atas penderhakaan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga membuat kenyataan sama pada Khamis lalu meminta Muhyiddin letak jawatan “secara terhormat”.
Zahid membuat kenyataan itu susulan kenyataan Istana Negara pada Khamis memperincikan kronologi dan latar belakang pendirian Yang di-Pertuan Agong mengenai pembatalan ordinan darurat.
Ahmad Jazlan berkata kenyataan Istana Negara itu bukan saja mendedahkan Agong belum memberi perkenan untuk membatalkan ordinan darurat tetapi juga mahu ia dibahas dan diungkai di Parlimen mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Kegagalan melaksanakan Titah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu bentuk penderhakaan yang nyata, sehinggakan Tuanku Yang di-Pertuan Agong sendiri terpaksa mengeluarkan warkah khas bagi menjelaskan lagi kronologi dan justifikasi pendirian baginda kepada perdana menteri,” katanya.
Muhyiddin juga jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan apabila pejabatnya mengeluarkan “kenyataan berbaur angkuh” untuk menjawab kenyataan Istana Negara, Khamis lalu, tambahnya.
Ahli Parlimen Machang itu berkata tindakan kerajaan menutup Parlimen atas alasan penularan Covid-19 menyerlahkah lagi sikap “sanggup mempermain-mainkan dan meremehkan sistem demokrasi Berparlimen.”
“Ini satu lagi tindakan derhaka terbaru yang dilakukan kerajaan sedangkan Tuanku sudah bertitah lebih daripada tiga kali mengenainya,” katanya.
Ahmad Jazlan merujuk titah Al-Sultan Abdullah pada Februari, Jun dan Julai, mahu Parlimen bersidang biarpun di tengah pelaksanaan perintah darurat.
Darurat diisytiharkan pada 11 Januari berakhir semalam, namun mengikut Perlembagaan Persekutuan segala ordinan darurat masih berkuat kuasa sehingga enam bulan lagi.
Pentadbiran Muhyiddin bagaimanapun mendakwa ordinan berkenaan sudah dimansuhkan menggunakan kuasa eksekutif berkuat kuasa 21 Julai lalu. – 2 Ogos, 2021.
Komen