Majoriti rakyat Sabah mahu lebih autonomi, kata kaji selidik


Sheridan Mahavera

Kaji selidik terhadap 905 pengundi Sabah mendapati 67% daripada mereka setuju Sabah patut dapat autonomi lebih besar daripada kerajaan persekutuan yang ditadbir gabungan pemerintah Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2017.

MAJORITI rakyat Sabah mahu kuasa autonomi lebih besar dari Putrajaya, menurut satu kaji selidik The Malaysian Insight ketika parti politik mula memperhebatkan kempen mereka untuk mengawal negeri Borneo yang strategik ini.

Ahli politik Sabah berkata sentimen kuat itu juga boleh diterjemahkan kepada lebih sokongan untuk parti tempatan seperti Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Parti Warisan Sabah yang berkempen atas platform pro autonomi.

Kaji selidik Merdeka Centre terhadap 905 pengundi Sabah yang ditugaskan oleh The Malaysian Insight mendapati 67% daripada mereka setuju Sabah patut dapat lebih autonomi. Hanya 22% tidak setuju dengan lebih autonomi sementara 11% lagi tidak pasti.

Tetapi 62% dalam kaji selidik itu berkata Sabah lebih baik kekal dalam persekutuan Malaysia yang terbneutk pada 1963 bersama Sarawak, Singapura dan Malaya. Hanya 22% merasakan Sabah dalam keadaan teruk manakala 8% responden berkata keadaan sama saja.

Ini menunjukkan walaupun majoriti responden mahu Sabah mempunyai lebih kawalan terhadap dasar dan kewangan, mereka juga rasa ia patut dilakukan dalam lingkungan persekutuan, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian.

Walaupun sokongan kuat untuk menambah autonomi, hampir separuh pengundi Sabah (49%) berkata mereka tidak mempercayai pemimpin mereka memegang kuasa seperti itu.

Ini mungkin refleksi kepada pandangan rendah rakyat Sabah terhadap kerajaan negeri mereka (52% tidak berpuas hati dengan pencapaian kerajaan negeri) dan pembangkang (hanya 26% menilai secara positif), kata Ibrahim.

“Ia juga kerana mereka tidak puas hati dengan cara kerajaan negeri menangani rasuah,” kata Ibrahim, menambah 62% responden berkata kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu rasuah.

Responden yang dikaji terdiri daripada 43% Bumiputera beragama Islam, 39% Bumiputera bukan beragama Islam dan 17% Cina.

Mereka juga daripada pelbagai peringkat umur, jenis pekerjaan dan pendapatan.

Parti tempatan dapat manfaat

Dr Zaini Othman dari Universiti Malaya Sabah (UMS) berkata sokongan untuk “lebih autonomi” sebenarnya satu desakan supaya Putrajaya memenuhi janji mereka di bawah 20 perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Antara janji itu ialah perkhidmatan awam Sabah didominasi masyarakat peribumi, Sabah boleh menaikkan cuka sendiri dan menguruskan kewangan, dan sistem pendidikan di bawah kawalan kerajaan negeri Sabah.

“Permintaan itu seperti disuarakan ramai rakyat Sabah bukannya mengenai lebih autonomi tetapi ia ‘pelaksanaan’ yang mereka anggap sebagai hak seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963,” kata Zaini yang juga ketua Pusat Pengajian Strategik dan Keselamatan di UMS.

“Masyarakat sivil Sabah yang berpendidikan rasa itu hak Sabah seperti dijanjikan dalam perjanjian berkenaan yang masih belum dilaksanakan.”

Ahli politik pro autonomi Sabah Jeffrey Pairin Kitingan berkata keinginan yang semakin besar untuk negeri itu mempunyai lebih kawalan pentadbiran memberi petanda baik kepada parti tempatan pada pilihan raya umum akan datang.

“Sekarang anda boleh nampak parti seperti Umno juga minta lebih autonomi,” katanya yang menerajui Parti Reformasi Negeri (STAR).

Sebelum menjadi menteri persekutuan pada 2015, dan menjawat speaker DUN Sabah, Salleh Said Keruak mendesak Putrajaya memberikan autonomi separa kepada Sabah dan Sarawak.

Komen Salleh itu yang juga timbalan ketua Umno Sabah, mencerminkan perubahan besar dalam sikap parti pemerintah berkenaan autonomi memandangkan ramai rakyat Sabah menyalahkan mereka kerana mengukuhkan pegangan Putrajaya di Sabah.

“Pemerintahan langsung terhadap Sabah dari Putrajaya menerusi Umno ialah salah satu sebab mengapa kami rasa itu dijajah semula oleh Malaya dan kenapa Malaya tidak memenuhi Perjanjian Malaysia,” kata Kitingan yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1992 kerana menulis mengenai hak Sabah. – 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kedudukan negeri Sabah dan Sarawak tidak sama seperti negeri-negeri di Semenanjung. Sabah, Sarawak dan Malaya adalah setaraf dalam Perjanjian Malaysia. Sepatutnya Sabah dan Sarawak mempunyai lebih banyak hak untuk mengurus mentadbirkan negeri sendiri. Malangnya pemimpin pemimpin yang memerintah Sabah sekarang tertakluk dibawah arahan pemimpin Umno di Semenanjung melalui ikatan mereka dengan Umno..

    Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Noordin KCD · Ulasan