PERSIDANGAN Dewan Rakyat esok boleh diadakan sekiranya sesi Parlimen hibrid diadakan, kata Majlis Peguam.
Presidennya, A G Kalidas berkata penangguhan sidang esok dapat dielak sekiranya perbincangan mengenai sesi hibrid ditangani dengan baik sejak awal lagi.
“Majlis Peguam menganggap penangguhan perbincangan mengenai persidangan Parlimen hibrid sebagai peluang yang terlepas.
“Ini seharusnya ditangani dengan baik pada awalnya. Keperluan untuk melaksanakan perkara di luar daripada kebiasaan seperti ini sepatutnya menjadi keutamaan semasa pandemik global.
“Kami berpandangan bahawa penangguhan persidangan Dewan Rakyat pada Isnin (esok) mencerminkan sikap negatif mereka yang memegang jawatan. Hal ini berlaku apabila ada perkara penting berkaitan negara yang perlu dipertimbangkan tanpa berlengah lagi,” kata Kalidas dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, sidang Dewan Rakyat esok akan ditangguhkan berikutan penilaian risiko oleh kementerian kesihatan yang mengesan 11 kes positif Covid-19 setelah 1,183 sampel diambil.
Kalidas berkata, Parlimen mungkin sepatuntya menggunakan mekanisme hibrid dan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai sejak awal lagi bagi memastikan kesihatan semua yang hadir semasa persidangan.
Beliau menambah, kegagalan Parlimen untuk memperkenalkan usul mengenai langkah-langkah hibrid dan juga pelaksanaannya bermaksud sidang Parlimen akan terus ditunda serta mengakibatkan sekatan terhadap amalan demokrasi.
“Pengaturan alternatif seperti itu penting ketika jumlah kes Covid-19 di negara ini meningkat secara drastik. Parlimen kita saat ini dilengkapi dengan alat teknologi yang diperlukan untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.”
“Parlimen harus mengubah peraturan mesyuarat bagi membolehkan sidang Parlimen secara hibrid dan selepas itu sesi dapat diteruskan. Pentadbiran baik perlu wujud sepanjang tempoh pandemik ini bagi menggelakkan krisis perlembagaan di mana kumpulan yang akan menjadi mangsa adalah rakyat,” tegas Kalidas. – 1 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen