Aplikasi sugar daddy Malaysia ‘bukan laman maksiat’


Gan Pei Ling

TheSugarBook memadankan lelaki dan perempuan berkedudukan dengan perempuan atau lelaki lebih muda, yang sanggup menyediakan perkhidmatan menemani dan berkasih sayang sebagai pertukaran untuk gaya hidup mewah. – Gambar TheSugarBook, 18 Januari, 2018.

THESUGARBOOK, aplikasi temu janji yang semakin popular di Asia Tenggara, mendakwa ia bukan platform untuk pelacuran atau pornografi, kata jurucakap syarikat itu.

“Kami tidak membiarkan sebarang aktiviti haram berlaku. Pengguna yang didapati mencurigakan atau sesiapa yang dilaporkan melanggar syarat kami, akan diharamkan menyertai aplikasi ini,” kata jurucakap TheSugarBook, Jessica Ong kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas mengenai laporan China Press baru-baru ini bahawa TheSugarBook mungkin berdepan masalah jika Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima aduan awam bahawa aplikasi media sosial itu digunakan untuk menyebarkan bahan haram seperti pornografi atau gambar bogel.

SKMM dipetik sebagai berkata pihak penguatkuasaan seperti polis juga boleh mengambil tindakan jika berlaku aktiviti pelacuran, peras ugut atau penipuan.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu tidak memaklumkan sama ada sudah menerima aduan awam atau tidak.

Ong berkata moderator bekerja 24 jam bagi memastikan gambar profil yang dihantar oleh pelanggan mematuhi garis panduan syarikat.

“Kami tidak membenarkan gambar bogel, ganas atau individu bawah umur dalam aplikasi kami,” katanya.

Wakil rakyat dan aktivis hak wanita di Singapura baru-baru ini meluahkan kebimbangan bahawa aplikasi itu mengeksploitasi wanita muda, terutama pelajar universiti, untuk mendapatkan keuntungan.

Ong berkata TheSugarBook ialah jaringan sosial secara online bagi mereka yang mempunyai minat sama, membolehkan golongan dewasa bertemu dan berhubungan.

Aplikasi itu memadankan lelaki dan wanita yang berkedudukan, dikenali sebagai “sugar daddies” atau “sugar mommies”, dengan lazimnya wanita atau lelaki lebih muda, dipanggil “sugar babies” atau “sugar pups”, yang sanggup menyediakan perkhidmatan menemani dan berkasih sayang sebagai pertukaran untuk gaya hidup mewah.

Ong berkata kaji selidik yang dijalankan syarikat itu sejak pelancarannya pada Disember 2016 menunjukkan sesetengah pelanggar melaporkan bahawa mereka sudah pun berpasangan secara rasmi dengan individu yang ditemui menerusi aplikasi itu.

Tetapi, setakat ini masih belum ada perkahwinan dilaporkan berlaku antara individu yang bertemu di aplikasi itu.

“Objektif kami untuk menyediakan platform yang inovatif bagi membolehkan orang ramai bercakap tentang harapan romantik mereka secara jujur dan telus.

“Kebebasan memilih diutamakan dan aplikasi itu direka untuk individu yang menari ruang selamat bagi meluahkan keperluan mereka dan mencari pasangan yang sesuai.

“Malah, kami pro kepada perkahwinan dan berharap hubungan lebih serius akan berkembang daripada pertemuan di TheSugarBook, sama seperti aplikasi temu janji online yang lain,” katanya. – 18 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen