Dewan Negara turut ditangguh


Dewan Rakyat patut bersidang esok dan Dewan Negara pada Selasa, kini kedua-duanya ditangguhkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2021.

DEWAN Negara turut menangguhkan persidangan tiga harinya yang sepatutnya bermula pada Selasa ke tarikh akan ditetapkan kemudian, kata Setiausaha Muhd Sujairi Abdullah.

Dalam notis dihantar ke senator, Sujairi berkata keputusan itu dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat Dewan Negara.

Katanya, ia selaras dengan cadangan ketua pengarah kesihatan dan penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan susulan berlaku jangkitan Covid-19 di Parlimen.

“Susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19, KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan itu,” demikian menurut notis itu.

Semalam, Muhyiddin mengarahkan Parlimen ditangguh ke satu tarikh ditetapkan kelak kerana pandemik Covid-19.

Surat pengangguhan itu dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua wakil rakyat.

Dalam surat itu, Nizam berkata Muhyiddin mengarahkan persidangan pada Isnin ditangguhkan menurut Peraturan Mesyuarat 11 (3).

Menurutnya, perdana menteri mengarahkan demikian atas cadangan ketua pengarah kesihatan dan penilaian risiko semasa yang dijalankan Kementerian Kesihatan.

“...Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya dalam surat itu.

Penangguhan itu berlaku ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin ditegur Yang di-Pertuan Agong kerana gagal membentangkan Ordinan Darurat di Parlimen untuk dibahaskan.

Agong juga secara terbuka menzahirkan rasa kecewa terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun yang juga abang kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun kerana mengelirukan Parlimen pada 26 Julai lalu.

Pada hari itu, Takiyuddin mengejutkan semua ahli Parlimen apabila mendedahkan yang Ordinan Darurat sudah dibatalkan Kabinet pada 21 Julai dan kerana itu tidak wujud keperluan untuk membahaskannya.

Ahli Parlimen Kota Bharu dari Pas itu juga berkata beliau akan memberikan penjelasan penuh isu berkenaan pada Isnin, 2 Ogos. 

Penangguhan sidang Parlimen pada Isnin menyebabkan situasi masih tidak selesai kerana Agong bertitah baginda tidak akan memperkenan pembatalan itu kecuali ia dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Kerajaan bagaimanapun bertegas yang pembatalan Ordinan Darurat tanpa menurut arahan Agong supaya ia dibahaskan masih sah di sisi undang-undang kerana Malaysia menggunakan sistem raja berpelembagaan. – 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen