POLIS perlu hentikan siasatan dan pendakwaan terhadap sesiapa yang menyertai protes #Lawan semalam, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Suruhanjaya itu berkata sebaliknya pihak berkuasa perlu memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk protes seperti itu.
“Kami menggesa pihak polis untuk berhenti menyiasat dan mendakwa sesiapa yang mengamalkan hak asasi ini.
“Malah, Suhakam mahu mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk mengembangkan dan memperkukuhkan SOP bagi membolehkan perhimpunan seperti ini diadakan dengan mengurangkan risiko Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu turut mengerahkan pasukan untuk memantau perhimpunan anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat yang disertai kira-kira 1,000 orang.
Pasukan pemantau terdiri daripada tujuh anggita Suhakam diketuai oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph bersama Pesuruhjaya Mah Weng Kwai dan Dr Nik Salida Suhaila.
Menurutnya hasil pemantauan pasukan itu mendapati perhimpunan berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Kami menggalakkan pemantauan oleh penganjur dan peserta dalam usaha untuk memastikan pematuhan SOP.
“Kami juga percaya langkah ini dapat ditingkatkan pada masa akan datang,” tambahnya. – 1 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen