KES harian Covid-19 dijangka meningkat di Terengganu dalam tempoh dua minggu ekoran peningkatan usaha saringan, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.
Jelasnya, ia membabitkan saringan kontak rapat dan di lokaliti berisiko selepas Terengganu mencatatkan kes harian tertinggi semalam sebanyak 833 kes.
“Kerajaan negeri melalui Pejabat Kesihatan bersama polis mengambil langkah seperti meningkatkan kawalan, saringan kontak rapat dan aktiviti di lokaliti berisiko yang sudah dikenal pasti.
“Susulan itu kita jangkakan peningkatan kes Covid-19 akan terus meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempercepatkan proses vaksinasi di kawasan kritikal yang mencatatkan bilangan kes positif Covid-19 tinggi, seiring permohonan pertambahan vaksin terutama di daerah Kemaman dan Dungun.
Samsuri turut melahirkan rasa kesal dengan peningkatan jumlah kes harian Covid-19 yang tertinggi sejak negeri itu dilanda pandemik.
Beliau berkata ia disebabkan penularan cepat dalam komuniti dan aktiviti perayaan Aidiladha.
“Berlaku peningkatan kes aktiviti semasa perayaan Aidiladha yang tidak mengikut SOP dan majis keraian yang dijalankan secara sembunyi oleh masyarakat.
“Ini termasuk aktiviti rentas daerah dan negeri biarpun tiada kemasukan warga asing tanpa disaring hingga mencetuskan kluster antara mereka,” katanya.
Justeru, beliau berpesan kepada seluruh rakyat Terengganu agar tidak panik dan terus bertenang, patuh prosedur operasi standard (SOP) dan amalkan kawalan kendiri walaupun Terengganu kini berada di fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.
Semalam, Terengganu merekodkan kes harian paling tertinggi iaitu 833 sejak pandemik itu melanda.
Mengikut infografik Jabatan Kesihatan negeri kes harian tertinggi direkodkan di Kemaman dengan 291 kes manakala Kuala Terengganu (195 kes), Dungun (179 kes), Marang (79 kes), Setiu (60 kes), Kuala Nerus (53 kes), Besut (23 kes) dan Hulu Terengganu (3 kes). – 1 Ogos, 2021.
Komen