Brisbane laksana sekatan pergerakan kekang varian Delta


Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu di sebuah klinik di Brisbane, Australia. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2021.

BANDAR ketiga terbesar di Australia, Brisbane dan bahagian lain di negeri Queensland dikenakan sekatan Covid-19 bermula Sabtu ketika pihak berkuasa bergelut mengekang penularan strain Delta.

Jutaan penduduk di bandar dan beberapa kawasan lain ditempatkan di bawah perintah tinggal di rumah pada Sabtu petang selama tiga hari, kata timbalan perdana menteri negeri, Steven Miles.

“Satu-satunya cara untuk mengalahkan strain Delta adalah bergerak dengan cepat, pantas dan bertahan,” kata Miles.

Enam kes baharu dilaporkan pada Sabtu dalam kluster varian Delta yang pada awalnya dikaitkan dengan seorang pelajar sekolah, mengakibatkan murid dan guru di dua sekolah diasingkan.

Jujukan genom mengaitkan kluster tersebut dengan pelancong luar negara yang dikuarantin di hotel tetapi sumber penularan tepat masih belum jelas, kata Ketua Pegawai Kesihatan Jeannette Young.

Dalam “sekatan paling ketat” yang dilaksanakan di bandar ini, penduduk hanya akan dibenarkan keluar dari rumah dengan alasan penting, termasuk membeli bahan makanan dan bersenam.

Arahan sekatan di Brisbane itu adalah selepas bandar raya terbesar di Australia, Sydney dan sekitarnya tamat minggu kelima langkah pengurungan dengan pihak berkuasa bergelut untuk menghentikan penyebaran wabak varian Delta di sana.

“Kita tidak boleh berpuas hati hanya kerana kita sudah melakukannya dengan baik setakat ini. Kita semua perlu mematuhi sekatan ini,” kata Miles.

Sydney mencatatkan 210 kes tempatan baharu pada Sabtu, sedikit menurun berbanding jumlah rekod pada awal minggu.

Polis dikerahkan di sekitar bandar, cuba mencegah penunjuk perasaan yang menentang sekatan berkumpul selepas ribuan orang turun di jalanan dan mencetuskan pertembungan ganas dengan pihak berkuasa minggu lalu.

Dengan hampir 14% penduduk yang diberi vaksin lengkap, pihak berkuasa di seluruh negara terus bergantung pada langkah sekatan untuk mengurangkan pergerakan orang dan memperlambatkan penyebaran virus.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Scott Morrison menggariskan usaha keluar daripada sekatan dengan menetapkan sasaran 80% penduduk diberi vaksin lengkap sebelum kerajaan membuka semula sempadan dan menarik balik sekatan. – AFP, 1 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen