LIMA penganjur perhimpunan #Lawan dipanggil untuk memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, kata Sekretariat Solidariti Rakyat.
Dalam satu kenyataan, Mohammad Azhar, Tharmelinggem Pillai, Qyira Yusri dan Sevan Doraisamy diminta untuk datang ke IPD berkenaan pada jam 10 pagi esok.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata polis akan memanggil semua pihak termasuk penganjur yang terlibat dalam perhimpunan #Lawan.
Menurutnya, walaupun perhimpunan itu berlangsung dengan aman, ia merupakan pelanggaran terhadap Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Nasional) 2021.
“Perhimpunan itu aman tetapi polis akan mengambil tindakan susulan kerana jelas melanggar Peraturan 10 Pencegahan dan dan Pengawal Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Nasional) 2021,” kata Zainal dalam sidang media yang diadakan di IPD Dang Wangi.
Beliau menambah, tidak ada sesiapa dibenarkan untuk berkumpul atau terlibat dalam perhimpunan di mana-mana tempat, baik untuk kegiatan keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau budaya.
Perhimpunan diadakan berhampiran Dataran Merdeka melibatkan seramai 400 peserta.
Beliau berkata peserta merancang untuk berkumpul di Dataran Merdeka dan polis melarang mereka masuki kawasan berkenaan.
“Oleh itu, mereka mengadakan tunjuk perasaan di luar kawasan Dataran Merdeka dan kita memberi mereka masa untuk bersurai,” katanya.
Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Mohamad Zainal berkata peserta perhimpunan memakai topeng muka, namun tidak mengamalkan penjarakan fizikal. – 31 Julai, 2021.
Komen