China susun pelan holistik Olimpik Musim Sejuk 2022 


Petugas media mengambil gambar dan video Pusat Ski Nasional di China. Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing dijadualkan berlangsung berlangsung dari 04 hingga 20 Februari 2022, dan Paralimpik dari 04 Mac hingga 13 Mac 2022. – Gambar EPA, 31 Julai, 2021.

JAWATANKUASA Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk 2022 (BOCOG) akan menyusun pelan kawalan dan pencegahan wabak Covid-19 yang menyeluruh untuk memastikan temasya sukan itu dapat diadakan dengan selamat dan lancar.

Ketua jabatan perancangan dan pembinaan BOCOG, Liu Yumin berkata, semua venue akan memantapkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak.

“Kemudahan sanitari dan tempat kuarantin sementara akan disediakan di dalam stadium,” katanya kepada media di sini pada Jumaat.

Sukan musim sejuk 2022 melibatkan 39 gelanggang antaranya 12 digunakan untuk pertandingan, tiga bagi mengadakan latihan dan 24 lagi untuk lain-lain kegunaan.

Menjelang hujung tahun lalu, 12 venue pertandingan telah siap dilengkapi pelbagai kemudahan dan mendapat maklum balas positif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Liu berkata, pihaknya akan mengadakan 10 acara antarabangsa dan dua acara domestik untuk menguji gelanggang berkenaan. – Bernama, 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen