CHINA hari ini sekali lagi berdepan lonjakan penularan wabak koronavirus apabila dua bahagian lain di negara itu termasuk bandar raya Chongqing dikesan melaporkan kes virus berkenaan.
Varian Delta yang cepat menular disahkan dikesan di Beijing dan empat wilayah lain mendorong ujian besar-besaran dilakukan dan menyebabkan lebih sejuta penduduk berada dalam perintah berkurung.
Lebih 200 jangkitan dikesan di seluruh negara dikaitkan dengan kluster Delta di wilayah Jiangsu timur di mana tukang cuci di sebuah lapangan terbang di bandar Nanjing dilaporkan positif Covid-19 pada 20 Julai.
Wabak terbesar dalam beberapa bulan ini mencabar usaha mengekang wabak oleh China yang bergantung pada ujian besar-besaran, sekatan pergerakan dan pengesanan kontak rapat.
Kes baru yang dilaporkan hari ini dikesan di Fujian dan Chongqing termasuk seorang pesakit yang mengunjungi bandar pelancongan Xi’an, wilayah Shaanxi dan seorang kakitangan karga antarabangsa di Xiamen Airlines yang baru-baru ini melakukan perjalanan dari luar negara, kata pihak berkuasa.
Rakaman media negara yang disiarkan hari ini menunjukkan penduduk Chongqing, sebuah kota yang menempatkan lebih 30 juta orang beratur untuk menjalani ujian virus.
Pihak berkuasa bandar Nanjing memerintahkan agar semua tempat pelancongan dan kebudayaan tidak dibuka pada Sabtu disebabkan oleh lonjakan jangkitan tempatan.
Ratusan ribu penduduk dikenakan sekatan pergerakan di wilayah Jiangsu, sementara Nanjing mengadakan ujian saringan terhadapkesemua 9.2 juta penduduk sebanyak dua kali.
China sebelum ini berjaya mengekang wabak selepas menguatkuasakan pencegahan virus pertama di dunia pada awal tahun 2020.
Tetapi wabak yang disebabkan oleh varian Delta mula merebak dengan cepat yang berpotensi memberi kesan kepada pelancongan musim panas dan percutian di China. – AFP, 31 Julai, 2021.
Komen