Polis halang masuk Dataran Merdeka, aktivis muda protes duduk di jalan


The Malaysian Insight

Ribuan aktivis muda mengadakan protes duduk selepas dihalang memasuki Dataran Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Julai, 2021.

AKTIVIS muda berpakaian hitam bersurai secara aman selepas mengadakan protes duduk di luar bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini selepas dihalang memasuki Dataran Merdeka, kawasan asal protes dijadualkan berlaku.

Lebih seribu orang muda berhimpun di sepanjang Jalan Tun Perak dan menuju ke persimpangan DBKL dan Dataran Merdeka untuk mengadakan protes duduk bagi menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pembukaan sepenuhnya Parlimen dan moratorium pinjaman automatik.

Protes diketuai Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) diadakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur untuk mencegah penularan Covid-19 masih dikuatkuasa.

Sebelum itu, ketua protes cuba berunding dengan polis bagi membenarkan mereka memasuki Dataran Mereka, tetapi ditolak.

Aktivis muda itu mula berhimpun di Stesyen LRT Masjid Jamek sekitar jam 10.30 pagi dan berarak menuju ke Dataran Merdeka pada jam 11.25 pagi.

Menjelang 11.50 pagi tadi, lebih seribu orang turut serta, membawa bersama sepanduk dan plakad serta “jenazah putih” sebagai simbol kematian disebabkan Covid-19.

Ribuan aktivis muda kini membanjiri kawasan sekitar bangunan DBKL selepas dihalang memasuki Dataran Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Julai, 2021.

Antara plakad yang dibawa mereka menggelarkan kerajaan Perikatan Nasional sebagai “kerajaan pembunuh”, merujuk kepada kegagalan pentadbiran negara mengurus pandemik yang melanda negara. 

Setakat semalam, 8,859 orang menjadi korban pandemik serta meletakkan hospital dan sistem kesihatan awam di ambang keruntuhan.

Polis tidak bertindak ke atas aktivis dan membenarkan protes duduk dilakukan, dron polis dan helikopter juga dikesan memantau situasi dari udara.

Aktivis muda pelbagai kaum itu yang duduk itu juga melaungkan, “Lawan, lawan!” dan “Tolak Muhyiddin”.

Pegawai polis serta marsyal protes yang memakai topi putih didengar menjerit  memberi peringatan kepada aktivis untuk sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial.

Seorang peserta protes yang memperkenalkan dirinya sebagai Brian berkata, beliau turun protes hari ini kerana kerajaan “gagal mengendalikan situasi Covid-19”.

“Mereka enggan bertanggungjawab ke atas tindakan mereka, yang kini menyebabkan ribuan kematian, memburukkan ekonomi dan kehilangan pekerjaan. Saya rasa mereka hanya peduli tentang kedudukan dan kuasa mereka berbanding rakyat. Mereka hanya lapar kuasa,” katanya yang berusia 28 tahun itu.

Marshal protes bertopi putih sentiasa memperingatkan aktivis yang hadir supaya memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 31 Julai, 2021.

Bekas Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang turut hadir, berkata beliau mahu menunjukkan solidaritinya dengan orang muda.

“Bagus sekali tengok generasi muda mengambil langkah besar untuk menyuarakan tuntutan mereka. Negara sekarang dalam krisis dan kerajaan semasa patut bertanggungjawab sepenuhnya,” kata politikus dari PKR itu.

Qyira Yusri, pengasas bersama Undi18 berkata protes hari ini memberi suara kepada orang muda yang selama ini tidak dipedulikan kerajaan.

“Sejak pandemik bermula, politikus dalam kerajaan tidak bercakap untuk kami. Kerajaan semasa sangat tidak stabil dan kerana itulah kami mendesak mereka untuk berundur,” katanya.

Tuntutan utama protes hari ini adalah pengunduran Muhyiddin Yassin yang gagal mengemudi Malaysia ketika krisis kesihatan, ekonomi, sosial dan politik terburuk melanda negara sejak Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 31 Julai, 2021.

Kerssugen, yang berusia 31 tahun pula berkata kerajaan sudah hilang kepercayaan dan keyakinan rakyat.

“Itu lebih daripada cukup untuk mereka berundur. Mereka tak sepatutnya bergayut kepada kuasa selepas prestasi buruk sejak tahun lepas,” katanya.

Nasir Ahmed, 24, berkata beliau sangat mahukan Muhyiddin berundur.

“Itu adalah permintaan utama kami hari ini.”

Ditanya jika beliau tidak bimbang dijangkiti Covid-19 kerana menyertai protes awam ketika wabak masih mengganas, Nasir berkata beliau sudah divaksin dan menjalani ujian saringan sebagai persediaan menyertai protes.

Aktivis mula menyanyikan lagu Negaraku pada jam 12.17 tengahari, dan pada 12.35 tengahari, polis yang menggunakan pembesar suara mengarahkan mereka untuk bersurai.

Aktivis hak asasi dan bekas presiden Badan Peguam Ambiga Sreenevasan menerusi Twitternya memuji protes anjuran aktivis muda itu, selepas ada pihak membandingkannya dengan protes Bersih.

“Setiap protes berbeza. Ini menakjubkan. Dianjurkan dengan bertanggungjawab ketika pandemik ini. Masa yang tepat. Mustahak. Memang terkesan! Ia adalah kejayaan besar. Dan melainkan tidak membenarkan mereka masuk DM (Dataran Merdeka), syabas @PDRMsia,” tulisnya. – 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen