Sekatan terbaru kekang Covid-19 mungkin dilaksana, kata Biden


Presiden AS Joe Biden tidak menolak kemungkinan arahan dan sekatan terbaru akan dilaksana susulan lonjakan kes Covid-19 di negara itu. – Gambar AFP, 31 Julai, 2021.

PRESIDEN AS Joe Biden pada Jumaat berkata “wujud semua kemungkinan” garis panduan atau sekatan baharu akan dilaksanakan di negara itu yang kini berdepan dengan gelombang terbaru Covid-19.

Ditanya jika rakyat Amerika perlu menjangkakan cadangan baharu dari pihak berkuasa kesihatan atau sekatan terbaru, presiden menjawab, “wujud semua kemungkinan”, sebelum meninggalkan White House untuk cuti hujung minggu.

Beliau tidak menjelaskan secara khusus langkah yang akan diambil.

Pihak berkuasa persekutuan AS, pegawai tempatan dan perniagaan memperhebat langkah kawalan sejak beberapa hari lepas apabila berlaku lonjakan kes disebabkan penularan varian Delta yang mudah berjangkit.

Bagaimanapun, Biden menambah yang negara itu mempunyai “hari baik” pada Khamis dalam aspek vaksinasi.

“Hampir sejuta orang divaksin,” katanya, ketika pentadbirannya bergelut dengan sambutan suram kepada kempen vaksinasi.

“Saya harap orang mula sedar betapa pentingnya ia (vaksinasi).”

Pihak berkuasa kesihatan AS minggu ini mencadangkan semua memakai pelitup muka dalam bangunan termasuk mereka yang sudah divaksin terutama di kawasan yang melaporkan kes tinggi.

Kerajaan persekutuan juga mengetatkan peraturan kesihatan untuk jutaan pekerjanya, yang kini perlu divaksin atau memakai pelitup muka dan menjalani saringan berkala, walaupun di kawasan dengan kes Covid-19 rendah. – AFP, 31 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen