PERBELANJAAN pra pilihan raya akan menyebabkan aktiviti ekonomi melonjak yang bakal memberi faedah kepada ramai rakyat biasa di Malaysia, kata pakar ekonomi, kerana parti politik pastinya berbelanja besar untuk kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada masa sama, peruntukan untuk petani, nelayan dan golongan berpendapatan rendah di bawah Bajet 2018 akan mula diberikan dan ini juga akan mengisi ruang ekonomi, kata Azrul Azwar Tajuddin.
“Saya mengesan trend ini dalam aktiviti ekonomi pada PRU 2008 dan 2013,” katanya yang juga ketua pakar ekonomi Jasmiza Solutions.
“Biasanya akan berlaku peningkatan aktiviti ekonomi beberapa bulan sebelum PRU kerana parti-parti berbelanja untuk barangan kempen, melakukan perjalanan dan mengadakan program ketika berkempen.”
Beliau berkata peningkatan perbelanjaan oleh parti politik juga boleh berlanjutan sehingga selepas pilihan raya, di mana Azrul meramalkan akan diadakan pada hujung minggu pertama Mei atau hujung minggu ketiga Julai.
Azrul menganggarkan purata pertumbuhan untuk 2018 antara 5% dan 5.5%. Ia berbeza dengan peratus pertumbuhan ekonomi 5.9% dari Januari hingga September 2017.
PRU14 perlu diadakan sebelum Ogos tahun ini. Azrul dan penganalisis politik lain meramalkan PRU14 akan diadakan selepas persidangan Parlimen pada Mac-April tetapi sebelum bulan Ramadan yang akan bermula pada 16 Mei.
Persidangan pertama bagi Dewan Rakyat kali ke-6 dijadualkan berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April.
Hujung minggu pertama Mei jatuh pada tarikh 5-6. Tidak mungkin kerajaan akan mengadakan pilihan raya pada minggu kedua Mei iaitu pada 13 Mei, kata Azrul.
Satu lagi waktu yang mungkin sesuai ialah hujung minggu ketiga pada Julai sebelum penerbangan pertama jemaah haji yang dijangka bermula pada musim haji.
Tiga gabungan dijangka bertanding merebut 222 kerusi Parlimen pada PRU14, iaitu gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) dan dua pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera Rakyat.

Bagi mengukuhkan pangkalan penyokong tradisinya di kawasan luar bandar, BN meningkatkan beberapa skim bantuan menerusi Bajet 2018 yang memberi manfaat kepada sektor pertanian dan kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.
Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM6.5 bilion dalam beberapa skim untuk petani, nelayan dan penternak.
Selain pemberian bayaran khas RM1,500 kepada penjawat awam, staf sokongan turut akan menerima kenaikan pangkat kali kedua selepas 13 tahun daripada kenaikan pertama.
Azrul berkata beliau tidak menjangkakan sebarang kejutan besar dalam ekonomi akan berlaku, tidak kira apa juga keputusan PRU14, asalkan gabungan yang menang terus komited dalam mengekalkan asas kukuh negara ini.
Beliau tidak bersetuju dengan kebimbangan bahawa nilai ringgit akan terjejas dengan siapa bakal menang PRU14.
“Mungkin akan berlaku reaksi mengejut selepas keputusan diumumkan. Tetapi ia hanya dalam masa dua minggu, paling lama. Nilai ringgit akan kembali berdasarkan kepada asas ekonomi.”
Bagi 2018, Azrul menganggarkan ringgit akan berada pada paras antara RM3.90 dan RM4.10, dan terus mengukuh berbanding dolar AS.
Nilai ringgit dijana oleh asas yang kukuh, pengembangan ekonomi mampan, inflasi rendah, dasar fiskal yang berhemat dan kenaikan rizab tukaran wang asing, katanya. – 18 Januari, 2018.
Komen