9 kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak


Jumlah kluster aktif Covid-19 di Sarawak kini sebanyak 84 apabila sebanyak sembilan lagi kluster baharu dikesan dengan tujuh daripadanya melibatkan kluster komuniti, manakala dua adalah kluster tempat kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.  

SEMBILAN lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Sarawak dengan tujuh daripadanya melibatkan kluster komuniti, manakala dua adalah kluster tempat kerja menjadikan jumlah kluster aktif di negeri ini sebanyak 84.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan tujuh kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Bunga Rampai, Kluster Kampung Paon Rimu, Kluster Kerina, Kluster Kampung Sungai Duuh, Kluster Sungai Sangan, Kluster Peligong dan Kluster Tanjung Tuang.

“Kluster Bunga Rampai melibatkan empat keluarga di sebuah kampung terletak di Banjaran Serapi, Bau dengan 35 orang didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 96 individu.

“Kluster Kampung Paon Rimu pula melibatkan penduduk di Kampung Paon Rimu, Serian dengan 21 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 62 individu,” menurut JPBN.

Sementara itu, Kluster Kerina melibatkan beberapa keluarga di tiga lokaliti iaitu Kampung Cina, Kampung Kemayau dan Kampung Riih Daso di Serian dengan 15 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 23 individu.

Menurut JPBN, Kluster Kampung Sungai Duuh pula melibatkan beberapa keluarga di sebuah kampung yang terletak daerah kecil Siburan di Serian dengan 28 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 64 individu.

Selain itu, Kluster Sungai Sangan melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Sangan,Tatau dengan tujuh individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 50 individu.

“Kluster Peligong melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di bawah PKPD yang terletak di kawasan Peligong, Saratok dengan 27 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 163 individu.

“Kluster Tanjung Tuang melibatkan penduduk sebuah perkampungan di bawah PKPD yang terletak di Tanjung Tuang, Samarahan dengan 84 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 553 individu,” menurut JPBN.

Menurut kenyataan itu, kluster tempat kerja pula iaitu Kluster Melikin melibatkan pekerja sebuah estet kelapa sawit di Melikin, Serian dengan 46 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 157 individu.

“Selain itu, Kluster Kinda KM 18 pula merupakan kluster tempat kerja melibatkan kilang di bawah PKPD yang terletak di Kemena Land District (KINDA), Tanjung Kidurong, Bintulu. 10 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 85 individu,” katanya.

Hari ini, Sarawak mencatatkan sebanyak 450 kes baharu Covid-19. – Bernama, 29 Julai, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen