MALAYSIA di ambang kemerosotan sekiranya negara meneruskan agenda Islamisasi yang tidak hanya akan memecahbelahkan masyarakat tetapi pada masa sama menyuburkan keganasan, kata Marina Mahathir.
Menyebut satu contoh baru-baru ini apabila seorang lelaki menampar seorang wanita Muslim kerana tidak memakai tudung di khalayak ramai, aktivis sosiopolitik itu berkata Islamisasi tidak positif atau sihat untuk negara.
“Apa yang memberikan lelaki itu tanggapan bahawa dia berhak menasihati wanita itu dengan kasar dan kemudian menamparnya kerana tidak memakai tudung seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya di Kuala Lumpur, malam tadi.
Anak pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad itu berkata demikian pada majlis pelancaran buku Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People Volume II terbitan Gerak Budaya.
Rakaman video insiden itu, yang dipercayai berlaku di Pulau Pinang dua minggu lalu dan tular di media sosial, menunjukkan lelaki itu mempersoalkan cara wanita Muslim itu berpakaian.
Dia kemudian tiba-tiba menampar wanita itu.
Menyentuh mengenai buku Illusion of Democracy, Marina berkata penerbitan itu memberikan “dukungan empirikal” terhadap pendiriannya mengenai Islamisasi di Malaysia kerana “ia satu bentuk penjajahan, satu konsep yang selama ini tidak pernah diketahui tidak ganas.”
Katanya, kecaman terhadap ucap selamat kepada orang yang berlainan agama serta serangan terhadap mereka yang tidak cocok dengan tafsiran rasmi Islam, membuktikan Islamisasi tidak hanya memecahbelahkan masyarakat tetapi turut membawa kepada keganasan.
Beliau juga mengulas kenyataan “seorang bekas pendidik” yang berkata kumpulan minoriti tidak seharusnya diberikan biasiswa dan mempersoalkan “pemimpin parti politik” yang mencadangkan hanya Muslim boleh menganggotai Kabinet.
Pada Konvensyen Kebangkitan Ummah hujung minggu lalu, bekas pendidik Raof Husin berkata Putrajaya terikat dari segi perlembagaan untuk mengehadkan bantuan pendidikan hanya kepada pelajar Bumiputera.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula pada tahun lalu berkata hanya Muslim layak memegang peranan membuat keputusan dalam sebuah kabinet Islam.
“Kalau kita tidak tahu, tidakkah kita akan berfikir bahawa IS (Daesh) juga berkata perkara yang sama?
“Tetapi dalam keghairahan kita memerangi keganasan di negara ini, sesetengah orang jadi keliru,” kata Marina.

Beliau berkata walaupun ada yang mengatakan rakyat Malaysia berfikiran sederhana yang mahukan keamanan dan kebebasan beragama, ada kalanya “nada toksik kumpulan Islam yang paling ganas di dunia pun” ada kedengaran.
“Pada satu sisi, sesetengah kumpulan dicap sebagai liberal dan plural, tetapi pada masa sama mereka dikelompokkan bersama IS walaupun istilah liberal dan plural tidak menggambarkan kumpulan tersebut.
“Sebaliknya, sesetengah kenyataan rasmi yang kita dengar atau baca ternampak lebih dekat dengan IS berbanding mana-mana kumpulan liberal.
“Ada kumpulan yang mahu doktor memotong tangan orang kerana mencuri misalnya… ada orang yang berfikir wanita yang bersuara dan membantah diskriminasi ke atas mereka atas nama agama tidak layak menggelar diri sebagai Muslim.
“Ada yang menyeru tindakan ke atas ahli akademik yang memberi amaran tentang radikalisasi institusi yang meningkat.
“Kita ini keliru atau hipokrit?” kata Marina.
Marina berkata walaupun mudah mencari noda hitam dalam sebuah negara yang “tidak demokratik” apabila “pembohongan dianggap sebagai kebenaran”, beliau masih positif rakyat Malaysia akan menghadapinya dengan tabah.
“Saya sudah lihat rakyat biasa menahan diri daripada termakan provokasi, bagaimana mereka tidak bertindak balas seperti yang diharapkan.
“Rakyat Malaysia enggan percaya gereja yang dibakar atau kepala babi yang dilempar adalah perbuatan orang seperti mereka tetapi samseng yang diupah.
“Mereka menelan penghinaan, menahan marah dan sebaliknya berdoa. Rakyat Malaysia membantu satu sama lain melampaui batas kepercayaan dan kaum ketika berdepan kesusahan,” katanya.

Katanya, walaupun pihak berkuasa mencari jalan untuk membeza dan mengasingkan masyarakat, rakyat masih menaruh harapan dan mampu menghormati antara satu sama lain.
“Ini sebuah negara tempat mereka yang berkuasa menukar nama hotdog sementara rakyat biasa bersama-sama belajar bagaimana menyayangi anjing.
“Kita meneruskan hidup seperti biasa walaupun pihak berkuasa mencari lebih banyak cara untuk saling membeza-bezakan dan mengasingkan kita.”
Namun Marina optimis biarpun dengan segala kekurangan itu, rakyat ada perikemanusiaan dan mampu hormat-menghormati antara satu sama lain dan saling menyayangi.
Buku Illusions of Democracy: Malaysian Politics and People Volume II disusun oleh Sophie Lemiere, ahli akademik dari Universiti Harvard, dan menghimpunkan tulisan penyumbang yang menyentuh isu demokrasi di Malaysia.
Lemiere yang mengendalikan forum memperkatakan buku berkenaan berkata lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan tentang demokrasi di negara ini.
Forum itu turut disertai antaranya oleh Lawrence Ross, penyelidik di Akademi Pengajian Melayu di Universiti Malaya dan pengarah eksekutif Empower, Angela M Kuga Thas, kedua-duanya penyumbang artikel buku berkenaan. – 18 Januari, 2018.
Komen
eganasan berlaku dimana-mana dan kenapa ianya tidak dikaitkan dengan lain2 agama. Selama ini negara ini membangun dan menjadi terkena
l kerana Islamisasi yang diamalkan sejak merdeka lagi. Jika Islamisasi tidak bagus Malaysia tidak akan mencapai tahap sekarang dan Marina mgkn tidak akan pernah ke sekolah.Apa yang perlu diingatkan adalah negara ini merupakan negara yang dihuni penduduk asal yang mengamalkan Islam.Sesiapa yang merasa hendak merampasnya perlulah faham keadaan ini.
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ahmad Hashim · Ulasan