Hartal 2.0 jika kerajaan gagal selesai sebelum Belanjawan 2022, kata doktor kontrak


Ravin Palanisamy

PUTRAJAYA berikan penyelesaian jitu mengenai status doktor kontrak sebelum bentang Belanjawan 2022, dan jika gagal mogok Hartal Doktor Kontrak 2.0 akan diadakan, kata jurucakap pergerakan Dr Mustapha Kamal.

Mustapha berkata mereka mahukan penyelesaian segera kerana tempoh dua tahun yang diminta kerajaan bagi meminda Akta Pencen penuh dengan ketidaktentuan memandangkan politik negara kini tidak stabil.

“Kami mahu kerajaan bentang usul itu secepat mungkin sebelum Belanjawan 2022.

“Kami mahu mereka bincang dan buat pelan, walaupun Dr Adham (Menteri Kesihatan) berkata mereka perlukan dua tahun tapi saya rasa dua tahun terlalu lama sebab politik negara kita tak menentu sekarang ini.

“Jika mereka tak bagi respons sebelum Belanjawan 2022, kemungkinan besar kami akan buat Hartal 2.0,” kata Dr Mustapha kepada wartawan dalam sidang media maya hari ini.

Ketika ditanya bagaimana protes Hartal 2.0 akan dibuat, Dr Mustapha berkata mereka akan mempertimbangkan keadaan semasa seperti Covid-19 dan kedudukan kerajaan.

Minggu lalu, beratus-ratus pekerja kesihatan membuat mogok di hospital kerajaan di seluruh negara sebagai tanda protes terhadap sistem kontrak yang tidak adil.

Selepas mogok berakhir, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan petugas khas diketuai oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sedang mengkaji pindaan Akta Pencen untuk membolehkan jawatan tetap bagi doktor kontrak.

“Kami harap pasukan petugas khas diketuai MMA dan KKM akan meneliti pindaan terhadap Akta Pencen bagi membolehkan pengambilan ke jawatan tetap dilakukan dengan pilihan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh dua tahun untuk semua lanjutan kontrak yang diberikan kepada 23,000 doktor sekarang,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa ahli Parlimen menyokong usaha ini ketika pindaan itu dibuat di Parlimen, agar doktor kontrak meneruskan rundingan daripada membuat mogok.

Kerajaan perlu selesaikan segera kerana janji dua tahun itu terlalu lama, tambahan politik negara kini tidak stabil, kata Hartal Doktor Kontrak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2021.

Tunjuk perasaan itu terus dibuat walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan kontrak dua tahun lagi untuk semua pegawai perubatan kontrak, pegawai pergigian dan pegawai farmasi setelah tamat perkhidmatan wajib kerajaan mereka.

Muhyiddin berkata kontrak pegawai yang telah diterima untuk pengajian pakar juga akan dilanjutkan selama empat tahun lagi.

Dr Mustapha berkata mereka mengadakan pertemuan dengan Dr Noor Hisham selepas mogok itu, di mana beliau mendakwa ketua pengarah kesihatan itu meluahkan keprihatinannya terhadap keadaan doktor kontrak dan berharap Menteri Kesihatan memberikan penyelesaian di Parlimen tidak lama lagi.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang, mereka terlibat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk menubuhkan sebuah kesatuan bagi para doktor.

Dr Mustapha berkata walaupun MMA ada untuk mewakili doktor, beliau merasakan kuasa mereka terhad, oleh itu mahu gabungan yang kuat untuk mewakili doktor.

“Kami kini terlibat dengan MTUC dan Cuepacs tentang bagaimana kami sebagai profesional dapat tubuhkan kesatuan untuk bawa suara kami.

“Ada MMA tetapi kami berpendapat kuasa MMA agak terhad kerana mereka lebih cenderung kepada NGO dan bukannya sebuah kesatuan seperti Persatuan Perubatan British di United Kingdom.

“Jadi, saya percaya jika kami ada kesatuan, kami betul-betul dapat kuatkan suara dan maju ke arah sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik,” katanya.

Seorang lagi wakil, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Syed, yang bertanggungjawab mendaftarkan kesatuan itu berkata, doktor kontrak dari kelas UD41 dan UD44 boleh sertai kesatuan itu, di mana mereka dapat perbaiki nasib mereka.

“Pekerja profesional tidak boleh ada kesatuan mereka sendiri tetapi doktor junior, terutama UD41 hingga UD44, ada klausa yang membolehkan mereka masuk kesatuan,” kata Dr Syed.

Sejak sistem ini dilancarkan pada 2016, hanya lebih 700 daripada 23,000 doktor kontrak yang diberi jawatan tetap.

Doktor kontrak, atau pegawai perubatan (MO) telah berkata kontrak lima tahun di bawah sistem ini mengekang peluang kerjaya.

Sistem ini juga menafikan mereka dari mendapat layanan sama seperti doktor, seperti cuti belajar berbayar dan hadiah latihan persekutuan.

Terdapat juga aduan kriteria dan penilaian untuk pelantikan ke jawatan tetap kurang telus. – 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen