SEBELAS lagi kes positif Covid-19 di Parlimen dikesan menerusi ujian saringan ke atas semua wakil rakyat, kakitangan Parlimen dan pengamal media semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata setakat 8 malam tadi, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur.
Ujian saringan dijalankan selepas dua kes positif dikesan terlebih dahulu semalam, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 Julai (Isnin) sehingga 28 Julai (Rabu) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Julai melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema.
“Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, kedua-dua kes tersebut tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan kakitangan Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum sidang khas Dewan Rakyat bermula.
Berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh persidangan, tambahnya.
“Sehubungan itu, KKM telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.
“Untuk makluman, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen pada 29 Julai dan tamat pada jam 8.00 malam.”
Sidang khas Dewan Rakyat semalam ditangguhkan pada 3.30 petang semalam bagi membolehkan ujian saringan dijalankan.
Dr Noor Hisham menasihatkan semua yang akan hadir ke sidang Dewan Rakyat minggu hadapanseupaya menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.
Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen, katanya. – 30 Julai, 2021.
Komen