Portugal mula longgar sekatan pergerakan


Pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka tidak akan diwajibkan jika 70% penduduk Portugal lengkap divaksin menjelang September. – Gambar AFP, 30 Julai, 2021.

PORTUGAL akan melonggarkan sekatan pergerakan mulai Ahad, umum Perdana Menteri Antonio Costa semalam.

Kerajaan katanya mensasarkan kelonggaran secara tiga fasa sekiranya program vaksinasi ke atas 10 juta penduduk terus menepati sasaran.

“Masanya sudah tiba untuk kita bergerak ke depan dalam menangani pandemik ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet semalam.

Mulai Ahad ini, semua restoran, kedai serbaneka dibenarkan beroperasi sehingga jam 2 pagi. Penduduk juga tidak lagi diwajibkan bekerja dari rumah, manakala perintah berkurung waktu malam di beberapa kawasan juga ditarik balik.

Bagaimanapun, pengunjung restoran dan mereka yang ingin menginap di hotel perlu menunjukkan sijil kesihatan atau kad vaksinasi atau pengesahan negatif ujian Covid-19.

Costa berkata, kerajaan mensasarkan 57% populasi Portugal lengkap menerima dua dos vaksin Ahad ini.

Pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka juga tidak akan diwajibkan jika 70% penduduk lengkap divaksin menjelang September.

Sekiranya kadar vaksinasi mencapai 85% menjelang Oktober, kelab malam dan pub akan dibenarkan buka, dengan syarat pengunjung wajib menunjukkan sijil kesihatan. – AFP, 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen