Lebih separuh populasi Myanmar berisiko dijangkiti Covid-19, kata PBB


Kerajaan junta Myanmar kini merayu bantuan antarabangsa untuk memerangi penularan pandemik Covid-19.– Gambar AFP, 30 Julai, 2021.

BRITAIN semalam memberi amaran kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih separuh daripada 54 juta penduduk Myanmar berisiko dijangkiti virus Covid-19 dalam tempoh dua minggu.

PBB mesti memastikan Myanmar menghormati Resolusi 2565, yang menuntut gencatan senjata di zon konflik, supaya penghantaran vaksin dapat dilakukan dengan selamat, kata Duta Britain ke pertubuhan itu, Barbara Woodward.

Myanmar yang bergolak sejak tentera merampas kuasa pada Februari, kini bergelut menangani penularan Covid-19 ekoran kebanyakan hospital tidak cukup kelengkapan untuk merawat pesakit. Ramai petugas kesihatan di negara itu pula menyertai bantahan terhadap tentera.

PBB menganggarkan hanya 40% kemudahan kesihatan di Myanmar berfungsi ketika ini. Ia juga menganggarkan sekurang-kurangnya 67 pegawai perubatan ditahan tentera.

Kerajaan junta Myanmar kini merayu bantuan antarabangsa untuk memerangi penularan pandemik Covid-19, lapor media tempatan minggu ini.

Angka harian jangkitan Covid-19 di negara itu meningkat sekitar 50 kes setiap hari pada awal Mei, dan penganalisis mendakwa angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Kira-kira 1.75 juta orang daripada 54 juta penduduk Myanmar sudah divaksin.

Minggu lalu, bekalan vaksin keluaran Sinopharm tiba dari China, kata pihak berkuasa junta.

Pemberian vaksin itu bagaimanapun akan mengutamakan penduduk yang tinggal di sepanjang sempadan China-Myanmar.

Selain itu, China juga membekalkan lebih 10,000 dos vaksin kepada kumpulan pemberontak yang beroperasi berhampiran sempadan di selatan Myanmar.

Awal bulan ini, pihak berkuasa tentera berkata  sebanyak empat juta dos vaksin sudah ditempah dari China, dan Beijing akan menderma lagi dua juta dos.

India turut menyumbangkan 1.5 juta dos vaksin awal tahun ini. – AFP, 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen