PENARI Bilqis Hijjas akan ke mahkamah sekali lagi kerana menjatuhkan belon kuning pada satu acara seni pada 2015 yang dihadiri perdana menteri Najib Razak.
Peguamnya Latheefa Koya berkata, anak guamnya itu yang dibebaskan dua bulan lalu, baru menerima notis bahawa pihak pendakwaan memohon rayuan keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Rayuan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bilqis didakwa menjatuhkan belon dari ttingkat lima pusat membeli belah Pavilion di Bukit Bintang pada jam 3.15 petang, 31 Ogos, 2015 ketika Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor menghadiri satu acara kesenian di tingkat bawah.
Belon berkenaan tertulis perkataan “democracy”, “free media” dan “justice”. Insiden itu berlaku sehari selepas perhimpunan Bersih 4 di ibu negara.
Bilqis didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana perlakuan yang menghina, berniat untuk memprovokasi dan ada kekacauan. Kesalahan tu membawa hukuman maksimum denda RM100.
Bilqis dibebaskan pada Julai 2016 selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadapnya.
Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan pembebasan dan memindahkan kes itu ke mahkamah rendah, dan beliau diminta hadir untuk membela diri.
Namun pada November, keputusan mahkamah majistret sekali lagi memihak kepada Bilqis, dan membebaskannya daripada pertuduhan.
Majistret Mohd Faizal Ismail berpendapat pihak pendakwa gagal membuktikan elemen pertuduhan iaitu perlakuan yang menghina, berniat untuk memprovokasi dan ada kekacauan.
Katanya saksi pendakwa mengatakan bahawa mereka akan marah kepada Bilqis kerana apa yang dia lakukan dan insiden belon itu akan menyebabkan gangguan “hanya anggapan”.
Beliau juga berkata pihak pendakwaan tidak pernah mencabar dakwaan Bilqis bahawa beliau menurunkan belon hanya untuk menarik perhatian Najib untuk menegakkan prinsip perlembagaan. – 17 Januari, 2018.
Komen