SEBANYAK 552,701 dos vaksin diberi semalam, hari ketiga berturut-turut pemberian lebih setengah juta suntikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melalui Twitter memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 353,771 individu menerima satu dos pertama, manakala 198,930 lagi lengkap dos kedua.
Secara keseluruhan, 12.8 juta atau 39.3% penduduk menerima dos pertama setakat semalam, dan 6.1 juta atau 18.7% lengkap dua dos, katanya.
Sehingga 11.59 malam 28 Julai juga, 26.1% individu dewasa sudah menerima dua dos, manakala 54.9% baru menerima satu dos.
Data yang dikongsikan JKJAV juga menunjukkan secara keseluruhannya 1.9 juta penduduk di Lembah Klang lengkap dua dos vaksin, sementara 5.2 juta menerima dos pertama.
Setakat ini Lembah Klang merekodkan 504,577 kes dengan 4,041 kematian sejak pandemik mua dikesan dalam negara hujung Januari tahun lalu.
Bagi seluruh negara pula, sebanyak 1,061,476 kes dicatatkan sehingga kini, dengan jumlah kematian 8,551 orang.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 18 Julai lalu berkata 100% populasi dewasa di Malaysia dijangka melengkapkan dos vaksin Covid-19 pada Oktober, berikutan sasaran pencapaian program vaksinasi negara dipercepatkan. – 29 Julai, 2021.
Komen