PERANCIS akan menguatkuasakan undang-undang baharu mulai 9 Ogos, yang mewajibkan pas kesihatan untuk mengunjungi kafe, menaiki kapal terbang atau kereta api, kata jurucakap kerajaan semalam.
Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen pada hujung minggu lalu itu membangkitkan kemarahan dan tunjuk perasaan besar-besaran di Perancis.
Kerajaan bagaimanapun bertegas untuk meneruskan undang-undang berkenaan sebagai usaha untuk membendung pandemik Covid-19 di negara itu.
Pas kesihatan itu diberi kepada setiap individu yang sudah menerima dua dos vaksin dan disaring negatif Covid-19 atau disahkan sembuh dari jangkitan.
Peraturan tersebut sudahpun mula diwajibkan pada 21 Julai lalu bagi orang awam yang ingin mengujungi pawagam, muzium dan pusat kebudayaan dengan kapasiti lebih daripada 50 orang.
Jurucakap kerajaan Gabriel Attal berkata langkah tersebut perlu susulan peningkatan jangkitan dengan purata purata 19,000 kes sehari membabitkan varian Delta. Ini sekali gus menandakan situasi penademik di Perancis berisiko menjadi lebih buruk, katanya.
Tambahnya, strategi mewajibkan pas kesihatan itu menjadi ‘senjata’ nombor satu untuk memerangi Covid-19 di Perancis.
Setakat ini lebih 50% golongan dewasa di Perancis sudah menerima dua suntikan vaksin. – AFP, 29 Julai, 2021.
Komen