DR Siti Hasmah menyifatkan Abdul Razak Hussein sebagai pemimpin terhebat dan terkenal, ketika mengadakan rancangan langsung melalui Facebook hari ini.
Katanya, perdana menteri kedua itu sangat baik dengan rakyat jelata dan bekerja keras menangani pelbagai masalah dihadapi rakyat, terutamanya penduduk luar bandar.
Dr Siti Hasmah, isteri Dr Mahathir Mohamad itu berkata, sejak kematian Abdul Razak pada 14 Januari 1976 sehingga sekarang, belum ada pemimpin yang dapat mencapai tahap seperti Abdul Razak apatah lagi menandingi beliau.
“Beliau pemimpin terhebat dan paling terkenal antara pemimpin-pemimpin lain. Beliau seorang negarawan sejati. Dicintai oleh semua orang. Saya berbangga dapat bekerja di bawah pentadbirannya,” kata Dr Siti Hasmah dalam rancangan langsung melalui Facebook hari ini.
Kenyataan beliau tentang Razak itu muncul selepas Dr Mahathir dilantik untuk mengepalai Pakatan Harapan bagi menentang anak Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Najib Razak.
Tambah Dr Siti Hasmah, betapa sayangnya rakyat pada Razak terbukti dan dapat dilihat apabila rakyat berpusu-pusu ke Lapangan Terbang Subang menunggu ketibaan jenazah Abdul Razak dari London.
“Yang tak dapat parkir dekat, sanggup tinggalkan kereta mereka berkilo jauh, tua muda tak kira bangsa untuk ke lapangan terbang. Bila keranda keluar, rakyat jelata meraung. Bukan saja kat Subang tetapi juga di Parlimen di mana jenazah allahyarham diletakkan untuk penghormatan terakhir.
“Pintu Parlimen sampai pecah sebab rakyat berpusu nak masuk. Masa terhad. Begitulah betapa sayangnya rakyat dekat beliau,” kata Dr Siti hasmah.
Abdul Razak jugalah yang membawa Dr Mahathir kembali dalam Umno selepas ditendang keluar oleh perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman.
Tambah Dr Siti Hasmah lagi, suami beliau sangat mengidolakan Abdul Razak selain mempunyai hubungan yang sangat akrab.
“Tun Razak sebagai mentornya. Mereka sangat akrab. Bila Abdul Razak jatuh sakit, Dr Mahathir tahu ada yang tak kena tetapi ragu-ragu beliau hanya disahkan bila Abdul Razak beritahunya untuk bertanya pada doktor peribadi tentang itu. Waktu itulah baru dia tahu betapa sakitnya mentor dia,” kata Dr Siti Hasmah.
Tambahnya lagi, Dr Mahathir telah diberitahu tentang kesakitan selain prognosis juga tidak berapa bagus.
Dr Siti Hasmah berkata yang Abdul Razak menderita keseorangan dan hanya anggota keluarga yang rapat sahaja yang tahu.
“Beliau ke London untuk dengan harapan ikhtiar untuk rawatan tapi tak kesampaian. Semua orang sedih. Abdul Razak seorang yang hebat, isterinya Rahah Mohammad Noah seorang wanita yang gagah,” katanya.
Hari ini, Dr Siti Hasmah mengulang semula komen Dr Mahathir sebelum ini yang beliau telah membantu Najib untuk menjadi perdana menteri kerana beliau terhutang budi kepada ayah Najib.
“Dr Mahathir tak akan jadi perdana menteri kalau bukan sebab Abdul Razak dan beliau nak balas budi dengan naikkan anakknya (Najib).
“Dia juga ada cakap yang dia tak mahu apa-apa yang buruk dikaitkan dengan Abdul Razak.
“Ya, ia sangat bermakna buat Tun (Dr Mahathir). Dia rasa terhutang budi,” katanya.
Berikutan pertelingkahan dengan Najib, Dr Mahathir meletakkan jawatan dari Umno dan menubuhkan Bersatu untuk menentang Najib dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Bersatu berganding bahu dengan tiga lagi parti pembangkang iaitu PKR, DAP, dan Amanah yang kemudiannya membentuk Pakatan Harapan. – 17 Januari, 2018.
Komen