KERTAS siasatan berhubung video yang memaparkan sekumpulan anggota sayap Wanita Bersatu berjoget tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di sebuah hotel hampir lengkap, kata polis.
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed pada sidang media hari ini berkata penganjur majlis sudahpun dipanggil untuk dirakam keterangan.
“Kami sedang melengkapkan siasatan sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
“Tidak dinafikan berlaku pelanggaran SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Menurut laporan media, kejadian berlaku di dewan Hotel Holiday Inn di Glenmarie, Selangor baru-baru ini.
Video sepanjang 1 minit 35 saat itu memaparkan sekumpulan wanita menari tanpa mematuhi SOP itu tular di media sosial dan turut dikongsikan bekas perdana menteri Najib Razak di Facebook minggu lalu.
Turut dirakamkan dalam video tersebut latar belakang program di atas pentas yang memaparkan gambar Ketua Wanita Bersatu Rina dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti. – 28 Julai, 2021.
Komen