Lebih separuh populasi Jerman lengkap divaksin


Seramai 41.8 juta penduduk Jerman sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 61.1% menerima sekurang-kurangnya satu dos. – Gambar EPA, 28 Julai, 2021.

LEBIH separuh daripada populasi Jerman sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Jens Spahn hari ini. 

“Seramai 41.8 juta penduduk Jerman sudah lengkap divaksin, manakala 61.1% menerima sekurang-kurangnya satu dos. Jika lebih ramai orang divaksin maka kita akan lebih selamat apabila musim luruh dan sejuk tiba,” tulis Spahn di Twitter.

Program vaksin Jerman yang bermula sejak musim panas bagaimanapun perlahan sejak beberapa minggu lalu, mencetus kebimbangan terhadap kemungkinan gelombang keempat jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta yang lebih mudah merebak.

Tidak seperti negara Eropah lain seperti Perancis dan Greece, Jerman setakat ini tidak mewajibkan rakyatnya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Angka harian jangkitan Covid-19 di Jerman meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Hari ini, negara itu mencatat 2,768 kes baharu dalam tempoh 24 jam. Menurut agensi kesihatan awam Robert Koch Institute, lebih 80% jangkitan baharu di Jerman membabitkan varian Delta. – AFP, 28 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen