POLIS menyoal siasat doktor di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Maeps adalah berkaitan dakwaan media menceroboh kawasan berkenaan dan bukan berkaitan tunjuk perasaan Isnin lepas, kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.
Beliau berkata, kehadiran polis di pusat berkenaan lewat malam tadi bukan untuk menyoal siasat berkaitan penyertaan mereka dalam tunjuk perasaan Isnin lepas.
Dalam sidang media maya, Arjunaidi menjelaskan polis dibenarkan oleh pengurusan pusat kuarantin untuk berjumpa dengan 12 doktor pada tengah malam kerana ini adalah pertukaran waktu kerja mereka.
“Kami tidak menyiasat doktor mengenai penyertaan dalam hartal, tetapi kami menyiasat dakwaan pencerobohan oleh petugas media pada hari berkenaan.
“Tidak ada pelanggaran SOP oleh doktor pada Isnin lepas. Kami sama sekali tidak menyiasat protes berkenaan.
“Isu sekarang adalah menceroboh. Ada enam wartawan memasuki kawasan itu tanpa memakai alat perlindungan diri (PPE),” kata Arjunaidi.
Sidang media hari ini dibuat beberapa jam selepas ahli Parlimen membangkang membantah kerajaan kerana membiarkan polis terus menyiasat doktor yang turut serta dalam mogok berkenaan walaupun Menteri Kesihatan Adham Baba berjanji tidak akan ada siasatan dilakukan.
Bagaimanapun peguam Asheeq Ali Sethi Alivi mendakwa polis merakam keterangan 12 doktor di Maeps pada tengah malam dan menuduh ia satu intimidasi terhadap doktor berkenaan.
Dia berkata, polis hanya meninggalkan kawasan itu pada jam 4 pagi, sementara dia tidak dibenarkan menemani anak guamnya kerana tidak mendapat kebenaran memasuki pusat kuarantin berkenaan.
Di Parlimen pagi ini, ahli Parlimen PKR Saifuddin Nasution menuntut penjelasan daripada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba ketika menteri itu menyampaikan ucapan di Dewan Rakyat mengenai isu Covid-19. – 28 Julai, 2021.
Komen