PEGUAM mewakili keluarga pastor yang hilang, Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu menegur Maxis Broadband Sdn Bhd kerana tidak menghantar pegawai yang lebih berpengalaman untuk menjawab soalan mereka dalam siasatan Suhakam hari ini.
Mereka kesal dengan pegawai bahagian keselamatan telekomunikasi Azhar Baba yang tidak dapat memberikan jawapan sewajarnya bagi pertanyaan yang dihantar kepada Maxis lebih awal.
Peguam Philip Koh berkata mereka sangat kecewa dengan penyedia telco kerana gagal memberikan saksi berkebolehan.
“Siapa pun dalam pengurusan kanan (Maxis) harus tahu yang saksi harus datang bersedia bagi siasatan.
“Ini tidak boleh diterima kerana membuang masa ahli panel dan pemerhati. Ini menunjukkan tidak hormat kepada badan perundangan,” kata Koh semasa pendengaran awam dalam talian mengenai kehilangan pasangan itu.
Suhakam mengirim senarai soalan kepada Maxis dan di antaranya adalah perincian akaun telefon bimbit dan data mengenai transaksi panggilan mereka.
Pegawai Suhakam Simon Karunagaram bertanya kepada Azhar, yang merupakan saksi ke-23, berapa lama Maxis akan menyimpan maklumat pengguna.
Azhar menjawab tidak akan tahu kerana itu di luar skop penyiasatannya.
Pesuruhjaya Jerald Joseph menyoal Azhar bagaimana beliau tidak tahu mengenai maklumat tersebut selepas bekerja di Maxis selama 25 tahun.
Saksi menjawab beliau hanya memproses permintaan berhubung bil telefon dan perincian pengguna apabila diminta oleh agensi penguatkuasaan berkaitan. – 28 Julai, 2021.
Berita penuh di sini
Komen