Ahli forum mahu sekat LGBT, mak nyah ambil anak angkat


Radzi Razak

Seorang wanita menunjukkan aplikasi berkaitan LGBT di sebuah forum di Kuala Lumpur, Oktober lalu. Hari ini, dalam sebuah forum berasingan, dua ahli panel meluahkan kebimbangan berhubung jutawan kosmetik Nur Sajat yang mengambil anak angkat kerana ia akan memberikan kecelaruan psikologi pada anak angkat itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Januari, 2018.

KERAJAAN khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu membuat peraturan tidak membenarkan golongan Mak Nyah dan LGBT mengambil anak angkat kerana mereka mempunyai masalah psikiatri kata Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa.

Memberi contoh jutawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman yang mempunyai beberapa anak angkat, Zambri meluahkan kebimbangan anak-anak tersebut akan terpengaruh dengan gaya hidup beliau.

“Pengambilan anak angkat, sepatutnya JKM tak benar dan izin kerana kecelaruan ini. Kerana kita takut anak ini akan terdidik dengan cara ini. Kerana mereka ini ada masalah psikiatri,” kata beliau dalam forum Bicara Mysuara: LGBT Semakin Melampau hari ini.

Tambah Zambri, masyarakat harus tidak memberi sokongan dan menggalakkan jutawan kosmetik LGBT kerana ia akan membuatkan golongan itu “naik syeikh” dan menganggap mereka diterima oleh masyarakat.

“Bila dia post gambar, saya lihat masyarakat menyokong, malah memuji cantiknya. Jadi bila dia syok, seronok lagilah dia ‘naik syeikh.’ Kena bagi kesedaran seluruh masyarakat. Kena seiya dan sekata menolak pondan LGBT ini dan tak boleh halalkan cara mereka,” katanya menambah yang beliau tidak membenci golongan itu, tetapi mahu membantu kerana sayangkan mereka yang seagama dengannya.

Seorang lagi panelis, pemilik gimnasium dan blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris pula berkata, golongan LGBT ini lebih “bangga” dan menganggap lebih baik dari masyarakat lain kerana dibenarkan mengambil anak angkat oleh JKM.

Beliau menegaskan ia tidak adil sedangkan terdapat pasangan “normal” yang masih tidak dibenarkan mengambil anak angkat hanya kerana tidak mempunyai kewangan yang cukup seperti golongan LGBT.

“Saya lihat bila mereka ambil anak angkat, mereka bangga, megah dan kata ‘inilah anak yang dibuang golongan normal.’ Tapi saya nampak ada yang dah kahwin 10 tahun sampai ke sudah tak dapat ambil anak angkat (oleh JKM).

“Jadi ini timbul persepsi bermain di kalangan masyarakat bahawa bila ada wang semua jalan. Ia juga menganiaya, mendoktrin dan menghasut anak-anak ini untuk berfikir dan hidup seperti mereka (golongan LGBT),“kata beliau selain menyeru agar kerajaan menggubal undang-undang khusus bagi menyekat golongan ini.

Isnin lalu, Wan Muhammad Azri, atau lebih dikenali dengan Papagomo memuat naik video perbualan beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, mengenai status Nur Sajat sebenarnya seorang lelaki.

Dalam perbualan itu, Jamil dirakamkan berkata Jakim tidak mempunyai “locus standi” undang-undang dan hanya pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa dalam tindakan.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diwakili Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komunitinya Dr Mohd Izwan Md Yusof bertemu Nur Sajat di pejabat ahli perniagaan tersebut di Shah Alam untuk “merungkai persoalan yang ditimbulkan masyarakat” mengenai jantina sebenar beliau.

Pertemuan itu turut disertai kedua ibu bapa jutawan itu dan kedua belah pihak memberi makluman positif selepas pertemuan.

Bagaimanapun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan hasil pertemuan oleh kedua pihak itu. – 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen