AHLI Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman sekali lagi dikompaun oleh pihak polis kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Parlimen semalam.
Sebelum ini beliau pernah dikompaun sebanyak RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka dalam satu sidang media kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) pada 25 Mei.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata siasatan telah dibuat selepas pengguna Twitter dengan nama pengguna @sultanoftasik memuat naik gambar Tajuddin di ruang legar Parlimen tanpa memakai pelitup muka.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati ahli Parlimen Pasir Salak itu telah menghadiri sidang mesyuarat khas ahli Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021.
“Pada hari yang sama jam lebih kurang 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka sewaktu sedang bersama seorang individu lain di ruang legar Parlimen,” kata Beh dalam satu kenyataan hari ini.
Atas pelanggaran SOP tersebut, Beh berkata, satu notis kompaun telah dikeluarkan terhadap beliau pada hari ini jam 1.00 tengah hari. – 27 Julai, 2021.
Komen