1,023 di ICU, rekod tertinggi setakat ini, kata KP kesihatan


207 kematian turut dilaporkan hari ini, jumlah sama seperti semalam dan jumlah korban harian paling tinggi sejak pandemik bermula, kata Dr Noor Hisham. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Julai, 2021.

SERAMAI 1,023 pesakit Covid-19 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara dengan 207 kematian akibat virus itu turut dilaporkan hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata jumlah kematian dicatat hari ini menjadikan angka maut keseluruhan kini sebanyak 8,408.

Bilangan terkorban hari ini juga sama dengan semalam, menjadikan seramai 414 maut akibat Covid-19 dalam dua hari ini.

Sebagai perbandingan, sepanjang 2020 sahaja, seramai 471 orang terkorban akibat Covid-19.

Daripada jumlah yang dimasukkan ke ICU hari ini, 524 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Turut dilaporkan, sebanyak 11,526 kes sudah sembuh berbanding kes jangkitan hari ini iaitu sebanyak 16,117. Kini kes aktif berjumlah 170,224.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jangkitan baharu hari ini, sebanyak 9,061 atau 56.3% pesakit tidak ada gejala berada dalam Kategori 1, manakala 41.6% dalam Kategori 2 dengan gejala ringan.

Kategori 3 pula, katanya, 135 pesakit atau 0.8% dengan radang paru-paru dilaporkan, manakala Kategori 4 mencatatkan seramai 124 atau 0.8% pesakit memerlukan bantuan oksigen.

Tambah Dr Noor Hisham, pesakit tahap kritikal yang memerlukan bantuan ventilator dalam Kategori 5 mencatatkan 87 kes atau 0.5% daripada jumlah kes hari ini.

Dalam Kategori 3 hingga 5, 82.7% belum diberi vaksin, manakala 88.1% pesakit dalam Kategori 1 dan 2 tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

Dalam pada itu, sebanyak 96 kematian hari ini berlaku di Selangor, diikuti 21 di Johor dan 34 di Kuala Lumpur.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 31 orang maut sebelum tiba di hospital.

Berhubung kadar jangkitan (RT), beliau berkata purata bagi Malaysia setakat semalam adalah 1.14.

“Negeri yang mencatat nilai RT tertinggi ialah Terengganu (1.29), diikuti Kedah dan Johor (masing-masing 1.26), dan Sabah (1.23).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Labuan dan Perlis,” katanya. – 27 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen